Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan kesan tetakan di bahagian siku lengan kiri dan belakang lehernya.
BEAUFORT: Seorang lelaki warga asing maut ditetak akibat dendam di Kampung Balibata, di sini, awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Beaufort, Superintendan Wong Leong Meng berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 30-an itu ditemukan dalam keadaan tertiarap dengan kesan tetakan di bahagian siku lengan kiri dan belakang lehernya.
Katanya, hasil siasatan pasukan polis mendapati mangsa adalah seorang lelaki warga Filipina dan tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
"Mangsa ditemukan dalam keadaan tertiarap lengkap berpakaian di atas tanah yang berlumuran darah.
"Terdapat dua kesan tetakan di bahagian siku lengan kiri dan bahagian belakang leher mangsa yang mana kesan luka ini dipercayai disebabkan tetakan oleh senjata tajam," katanya ketika dihubungi.
Katanya, bertindak dengan kejadian, Op Tutup serta Op Kesan dilancarkan oleh beliau sendiri bersama sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort dan Siasatan Khas D9 Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Sabah.
"Selepas kira-kira 12 jam operasi dilancarkan, suspek warga Filipina berusia lingkungan 70- berjaya ditahan berhampiran Kampung Balibata, jam 2.30 petang hari sama kejadian berlaku.
"Pasukan operasi turut merampas senjata yang digunakan oleh suspek dalam kejadian itu. Siasatan awal mendapati kejadian berkenaan dipercayai bermotifkan dendam," katanya.
Menurutnya, suspek dan barang rampasan dibawa ke IPD Beaufort untuk tindakan lanjut.
"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh," katanya.