Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, usaha itu bagi memastikan dasar 30 peratus kuota Bumiputera ini mendatangkan manfaat optimum kepada pembeli berstatus bumiputera.
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan melaksanakan dasar baharu 30 peratus kuota bumiputera dalam sektor perumahan swasta bermula 1 Disember 2024.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam berkata, usaha itu bagi memastikan dasar 30 peratus kuota Bumiputera ini mendatangkan manfaat optimum kepada pembeli berstatus bumiputera.
"Kerajaan negeri menambah baik dasar itu dengan membuat beberapa pindaan yang bersesuaian seperti, 30 peratus kuota bumiputera adalah dikekalkan di mana pemaju perumahan swasta hendaklah memastikan 30 peratus daripada jumlah unit rumah yang dibina adalah diperuntukkan kepada pembeli berstatus bumiputera bersama hak untuk memilih lot rumah.
"lni bermaksud pembeli berstatus bumiputera adalah berhak untuk memilih lot rumah yang mereka inginkan dan pemaju tidak lagi dibenarkan untuk menetapkan lot rumah untuk dijual kepada pembeli berstatus bumiputera seperti yang diamalkan sebelum ini," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berkata, bagi mempermudahkan urus niaga hartanah dalam kalangan pembeli rumah berstatus bumiputera, bermula dari tarikh kuatkuasa dasar baharu ini, larangan menjual semula lot rumah milik pembeli berstatus bumiputera yang
dikuatkuasakan sebelum ini adalah dimansuhkan.
Katanya, dengan itu pembeli berstatus bumiputera boleh menjual semula rumah yang diperuntukkan daripada kuota 30 peratus bumiputera kepada mana-mana pembeli tanpa sebarang sekatan.
"Bagi lot rumah milik pembeli berstatus bumiputera yang telah dikeluarkan geran tanah yang mengandungi sekatan atau larangan menjual semula sebelum tarikh berkuatkuasa dasar baharu ini, pemilik geran rumah boleh mengemukakan permohonan kepada Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) untuk memadamkan sekatan atau larangan itu berdasarkan Prosedur Operasi Standard (SOP) Jabatan Tanah dan Ukur (JTU).
"Apa-apa diskaun atau rebat yang diberikan oleh pemaju kepada pembeli bukan bumiputera hendaklah ditambah kepada diskaun lima peratus sedia ada yang diberikan kepada pembeli berstatus bumiputera," katanya.
Katanya, ini bermaksud jika pembeli bukan bumiputera mendapat 15 peratus diskaun atau rebate, maka pemaju perumahan swasta itu hendaklah memastikan pembeli berstatus bumiputera mendapatkan diskaun sebanyak 20 peratus.
Menurutnya, dasar baharu ini adalah selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mengurangkan birokasi dalam urusan jual beli lot rumah oleh golongan bumiputera.
"Kerajaan juga percaya dengan dasar baharu ini, lot rumah milik golongan bumiputera akan mencapai peningkatan nilai pasaran yang setaraf dengan lot rumah yang dimiliki golongan bukan bumiputera," katanya.