RM50 juta diperuntukkan Sabah bantu penduduk kampung bayar bil elektrik – Hajiji
17:12 Dec 05, 2024  |  By SabahKini2
RM50 juta diperuntukkan Sabah bantu penduduk kampung bayar bil elektrik – Hajiji

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peruntukan tersebut akan diberikan bermula tahun depan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat yang memerlukan di negeri itu.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah memperuntukkan sebanyak RM50 juta bagi membantu penduduk kampung yang menghadapi masalah membayar bil elektrik masing-masing.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor, berkata peruntukan tersebut akan diberikan bermula tahun depan sebagai inisiatif kerajaan untuk membantu rakyat yang memerlukan di negeri itu.

"Inisiatif ini diambil bagi membantu meringankan beban penduduk kampung yang layak dan menghadapi kesusahan membayar bil elektrik mereka," katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Bantuan Pendidikan Negeri Sabah di Menara Kinabalu, di sini semalam.

Selan itu, katanya mulai tahun depan kerajaan negeri juga akan memberi bantuan sebanyak RM300 kepada keluarga miskin tegar di Sabah selama tempoh setahun.

Beliau berkata kerajaan negeri melalui jabatan dan agensinya turut mengambil inisiatif dengan menyediakan pelbagai bantuan pendidikan serta sumbangan kepada pelajar dan siswazah bagi meringankan beban ibu bapa.

Hajiji turut memaklumkan bahawa inisiatif tersebut meliputi Program Biasiswa, Dermasiswa dan Pinjaman Pengajian Yayasan Sabah yang memperuntukkan sebanyak RM57 juta untuk 4,500 pelajar pada tahun depan.

Selain itu, Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) dengan peruntukan berjumlah RM127 juta menyasarkan tajaan seramai 3,850 pelajar baharu yang menuntut di universiti tempatan dan luar negara, di samping membiayai pelajar tajaan sedia ada pada tahun depan.

"Jumlah ini telah meningkat berbanding RM113 juta yang diperuntukkan pada tahun ini," katanya sambil menambah bantuan pendidikan baharu dan sedia ada yang diteruskan sebanyak RM79.5 juta juga akan diberikan secara sekali bayar termasuk bantuan dalam bidang agama, bahasa dan sastera untuk tahun depan.

Pada majlis itu, Hajiji menyampaikan bantuan BKNS kepada 100 pelajar yang mengikuti pengajian di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan 100 pelajar menerima bantuan daripada Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS).

Turut diberikan ialah Bantuan Ihsan Sekolah Sabah (BISBAH) untuk tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM10 juta melibatkan semua sekolah di Sabah, Bantuan Ihsan Komputer (BAIK) dan Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU).

Dalam pada itu, beliau berkata Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) melalui dana zakat turut melaksanakan pelbagai inisiatif pendidikan dengan memperuntukkan sebanyak RM47.3 juta khusus untuk bidang pendidikan pada tahun depan.

"Setakat November ini, terdapat peningkatan sebanyak RM4.9 juta daripada tahun sebelumnya dengan perbelanjaan keseluruhan berjumlah RM37.4 juta," katanya.

Comment