SEOUL: Kementerian Kehakiman Korea Selatan hari ini mengumumkan bahawa Presiden Yoon Suk-yeol dikenakan larangan perjalanan sementara polis menyiasat dakwaan pemberontakan terhadapnya berhubung pengisytiharan darurat tentera yang gagal.
Ketua Jabatan Siasatan Rasuah bagi Pegawai Kanan, Oh Dong-woon, berkata beliau sudah mengarahkan perintah larangan perjalanan dikeluarkan terhadap Suk-yeol.
Perkara itu disahkan seorang pesuruhjaya perkhidmatan imigresen di Kementerian Kehakiman, Bae Sang-up, apabila isu itu dibangkitkan dalam satu sesi pendengaran Parlimen.
Pada masa sama, ahli Parlimen Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang dianggotai Suk-yeol sendiri, menyokong undi memecat beliau.
Ahli Parlimen, Kim Sang-wook dari PPP yang memerintah berkata pada 8 Disember bahawa beliau akan mengundi memihak kepada pemecatan Suk-yeol melainkan pelan hala tuju yang jelas untuk penyingkirannya daripada jawatan dibentangkan.
Beliau adalah salah seorang daripada tiga anggota parlimen PPP yang membuang undi semasa undian pada 7 Disember mengenai usul pembangkang untuk memulakan pemecatan Suk-yeol berhubung pelaksanaan undang-undang tentera pada 3 Disember.
Meskipun Suk-yeol berjaya menangkis usul undi memecatnya di Parlimen, partinya bertegas mahukan dia meletak jawatan, sekal gus menimbulkan kegusaran negara sekutu, Amerika Syarikat (AS).
Pada Ahad, agensi berita Yonhap melaporkan, pihak pendakwa turut berhasrat melancarkan siasatan jenayah kerana pengkhianatan, selain sudah menahan bekas menteri pertahanan, Kim Yong-hyun, berhubung peranannya dalam pengisytiharan darurat tentera pada 3 Disember.
Dekri undang-undang tentera itu singkat dilaksanakan apabila Suk-yeol sendiri menarik balik perintah itu enam jam kemudian.
Ternyata anggota PPP kini berbelah bahagi sama ada mahu menyokong keputusan mengekalkan Suk-yeol atau mengambil risiko pembnagkang berhaluan liberal meraih kuasa.
Enam parti pembangkang, yang diketuai oleh pembangkang utama Parti Demokratik Korea, merancang untuk mengadakan pengundian semula mengenai pemecatan Suk-yeol pada 14 Disember.
Ia adalah susulan kepada usaha pertama mereka yang telah digagalkan oleh boikot parti pemerintah pada 7 Disember.
Sokongan dua pertiga dalam Dewan Negara yang dianggotai 300 anggota diperlukan untuk memecat presiden. Bersama-sama, parti pembangkang menguasai 192 undi - kurang kuorum lapan undi.
Selain Sang-wook, dua lagi ahli Parlimen daripada parti PPP yang menentang boikot parti mereka dan mengambil bahagian dalam pengundian pada 7 Disember ialah Ahn Cheol-soo dan Kim Yea-ji.