Video tular hanya mainan politik agar Ketua Menteri Sabah letak jawatan – Jeffrey
16:12 Dec 09, 2024  |  By SabahKini2
Video tular hanya mainan politik agar Ketua Menteri Sabah letak jawatan – Jeffrey

Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, perkara itu tidak wajar memandangkan tiada sebarang pertuduhan atau kes mahkamah yang dihadapi oleh Pengerusi GRS itu.

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyifatkan gesaan pemimpin Umno Sabah meminta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor meletak jawatan sebagai sesuatu yang tidak adil, selain melihatnya sebagai satu permainan politik.

Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan berkata, perkara itu tidak wajar memandangkan tiada sebarang pertuduhan atau kes mahkamah yang dihadapi oleh Pengerusi GRS itu.

Katanya, tindakan mengaitkan gesaan itu dengan klip video dakwaan skandal rasuah beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari GRS yang ditularkan melalui sebuah portal berita sebelum ini adalah satu bentuk permainan politik.

Beliau berkata, lebih ketara beliau turut diheret dalam perkara itu, apabila namanya dicadang sebagai Ketua Menteri Interim bagi menggantikan Hajiji yang didakwa berdepan isu integriti selepas penyebaran klip video terbabit.

"Pertama sekali, saya rasa tidak adil dan tidak sepatutnya meminta Ketua Menteri letak jawatan kerana apa kesalahan dia? Dia tiada kena dakwa, dia tiada masuk mahkamah.

"Mereka hanya berasaskan video yang saya ingat sudah menjadi permainan mereka dan disengajakan untuk mencemarkan imej pemimpin kita.

"Kedua, buat apa mereka tarik (heret) nama saya sekali kalau bukan untuk memecah-belah dan untuk memporak-perandakan pimpinan kita dalam GRS," katanya ditemui media selepas melancarkan Pemuda GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Agung GRS, Datuk Seri Masidi Manjun; presiden parti komponen GRS dan Ketua Pemuda GRS, Datuk Jonnybone J Kurum.

Sebelum ini, Bendahari Pemuda Umno, Mohd Kurniawan Naim Moktar berkata, Hajiji sewajarnya meletakkan jawatan secara bermaruah selepas menghadapi krisis integriti, reputasi dan kredibiliti.

Sebagai ganti, katanya Jeffrey wajar dilantik sebagai Ketua Menteri Interim kerana memiliki kredibiliti, integriti dan reputasi yang positif untuk mengetuai pentadbiran negeri.

Mengulas lanjut, Jeffrey berkata, beliau memahami permainan politik yang cuba dilakukan parti lawan terhadap GRS dalam usaha melemahkan gabungan berkenaan dan kepemimpinan kerajaan negeri.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), menyifatkan serangan terhadap pemimpin GRS adalah usaha terdesak pihak lawan yang mahukan Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) dipercepatkan.

"Tempoh kita belum habis lagi, belum selesai lagi, tapi ada pihak tertentu mahu PRN cepat, mahu ganti kerajaan cepat dan sebab itu mereka sudah mula menyerang kita, pecah-belah kita dengan taktik lama, bukan kita tidak tahu.

"Kita faham permainan mereka, pertama dia cari cara pecah-belah kita, cari kesalahan kita dan cuba pancing kita seperti video yang ditularkan baru-baru ini," katanya.

Tempoh kerajaan Sabah sekarang berakhir pada Oktober tahun depan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dijangka hanya dibubarkan apabila hampir ke penghujung penggal, kemungkinan pada Ogos depan seperti disebut Ahli Majlis Tertinggi GRS, Datuk Seri Ruddy Awah, baru-baru ini.

Comment