Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Siti Mang berkata, kesemua rampasan dan duti mencecah RM1.32 juta itu membabitkan 7,010 karton minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk tanpa cukai.
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah berjaya menggagalkan penyeludupan masuk minuman keras dan tongkeng ayam ke dalam negeri dalam empat siri rampasan berasingan di sini.
Penolong Ketua Pengarah JKDM Sabah, Siti Mang berkata, kesemua rampasan dan duti mencecah RM1.32 juta itu membabitkan 7,010 karton minuman keras pelbagai jenama yang dipercayai diseludup masuk tanpa cukai untuk pasaran tempatan dengan mengisytiharkan sebagai barangan lain.
Katanya, 2.8 tan tongkeng ayam yang bernilai pula dibawa masuk tanpa memiliki permit import yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Veterinar.
“Rampasan pertama dilakukan hasil pemeriksaan sebuah kontena di Pelabuhan Sepanggar pada 12 November lalu yang mengandungi 2,500 karton minuman keras tidak berkastam dengan nilai keseluruhan sebanyak RM376,233.
“Kes kedua diperolehi pada jam 9.50 pagi 3 Disember membabitkan penahanan dan pemeriksaan sebuah kontena di kawasan pemeriksaan kastam di Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu oleh bahagian Penguatkuasaan Kota Kinabalu.
“Hasil pemeriksaan kontena terbabit membawa minuman keras dan disyaki melanggar peraturan mengikut Akta Kastam 1967,” katanya semasa sidang media di Menara Kastam Sabah, di Jalan Sulaman, di sini.
Bercakap lanjut beliau berkata, kesemua minuman keras untuk kes ini berjumlah 2,500 karton bersamaan dengan 19,200 liter yang dianggarkan bernilai RM72,768 dengan jumlah cukai yang terlibat sebanyak RM297,676.
Siti berkata, rampasan ketiga berlaku pada 20 November lalu apabila sebanyak 2,010 karton minuman keras membabitkan dua jenama berjaya dirampas.
“Rampasan keempat membabitkan tongkeng ayam berjaya dilakukan pada 6 Disember lalu selepas dibawa masuk tanpa permit import.
“Sekiranya dilihat keempat-empat kes ini, modus operandi adalah dengan membuat pengikraran tidak betul.
“Bagi kes yang ketiga, pengikraran juga tidak benar dengan mengikrarkan barang sebagai barangan rumah,” katanya.
Siti Mang berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan jika disabit kesalahan boleh didenda tidak kurang sepuluh kali ganda nilai barang atau RM100,000 dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai barang atau RM500,000.
Katanya, pesalah juga boleh dipenjara bagi tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya
Sehubungan itu, Siti berkata, aktiviti penyeludupan bukan saja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
“Orang ramai disarankan supaya memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan ditalian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855.
“JKDM juga turut memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat berkenaan adalah dirahsiakan,” katanya.