Remaja maut terbabas langgar kereta rosak
19:12 Dec 17, 2024  |  By SabahKini2
Remaja maut terbabas langgar kereta rosak

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, hasil siasatan awal polis, mendapati motosikal yang ditunggang oleh mangsa hilang kawalan lalu terbabas sendiri.

PUTATAN: Remaja lelaki maut selepas motosikal ditunggang merempuh sebuah kereta rosak yang diletakkan di bahu jalan di Jalan Kampung Buit Hill, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 11.45 pagi itu, mangsa berusia 18 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Erwansyah Abdul Basir berkata, hasil siasatan awal polis, mendapati motosikal yang ditunggang oleh mangsa hilang kawalan lalu terbabas sendiri.

"Motosikal mangsa kemudian melanggar sebuah kenderaan rosak yang berada di bahu jalan berkenaan.

"Akibat daripada kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth I (HQEI), Kota Kinabalu untuk tujuan bedah siasat.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Erwansyah berkata saksi kejadian diminta untuk tampil memberi maklumat bagi membantu siasatan dan menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Saparia Ladoni di talian 019-8095133.

Katanya, polis menasihatkan orang awam supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu di jalan raya dan meminta supaya tidak menularkan sebarang imej atau klip video tempat kejadian di rangkaian media sosial bagi menjaga sensitiviti keluarga mangsa.

Comment