MEXICO: Kerajaan Mexico akan melaksanakan program penyerahan senjata api oleh rakyatnya dengan memberi sedikit insentif.
Presiden, Claudia Sheinbaum, berkata jaminan diberikan bahawa mereka tidak akan didakwa jika menyerahkan senjata dan menggalakkan setiap orang mengambil bahagian dalam program pelucutan senjata api untuk keamanan.
"Orang ramai boleh menyerahkan senjata mereka secara sukarela di gereja dan memberi mereka insentif ekonomi kerana melepaskan senjata api mereka.
"Program ini akan bermula tahun depan. Kami juga melaksanakan program ini di Mexico City dan ia memberi hasil yang signifikan.
"Pelan penyerahan senjata ini adalah sebahagian daripada strategi menyeluruh kerajaan untuk memerangi jenayah yang mana prinsip utamanya adalah untuk mempromosikan budaya keamanan, terutamanya di kawasan-kawasan yang bergelut dengan keganasan jenayah terancang," katanya sambil menambah terdapat 9.2 juta penduduk di negara itu.
Menurut data awal dari Institut Statistik dan Geografi Negara. pada 2023 Mexico mencatatkan 31,062 pembunuhan, yang mana 70 peratus disebabkan oleh senjata api.
Bekas presiden, Andres Manuel Lopez Obrador, berkata kira-kira tiga perempat daripada pembunuhan berkait dengan pertempuran antara kumpulan penjenayah berhubung kawalan jalan raya atau pasar dadah.
Kerajaan Mexico juga mengaitkan wabak jenayah keganasan dengan senjata haram yang diseludup masuk dari Amerika Syarikat (AS).
Mexico juga sudah memfailkan saman terhadap pengedar senjata di AS untuk tujuan ini, dengan Mahkamah Agung AS dijadualkan untuk meneliti kesahihan aduan itu pada Jumaat.