PPM rampas 35 tong gas bersubsidi cuba diseludup keluar
15:01 Jan 02, 2025  |  By SabahKini2
PPM rampas 35 tong gas bersubsidi cuba diseludup keluar

Dalam kejadian kira-kira jam 3.33 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun turut ditahan dipercayai juragan bot laju yang membawa semua tong gas berkenaan.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) merampas 35 tong gas bersubsidi di kawasan laut Pelabuhan Tawau, di sini selepas dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.33 petang itu, seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun turut ditahan dipercayai juragan bot laju yang membawa semua tong gas berkenaan.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata pihaknya yang menjalankan tugas di kawasan berkenaan telah mengesan sebuah bot laju yang sarat dengan muatan.

Katanya, anggota PPM terus menahan bot terbabit untuk menjalankan pemeriksaan dokumentasi ke atas juragan dan muatan yang dibawa.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot terbabit menemukan sebanyak 35 tong gas yang ditutup menggunakan kanvas dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Juragan terbabit juga gagal menunjukkan dokumen atau permit daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Malaysia (KPDN) ke atas tong gas yang dibawa,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Menurutnya, suspek terbabit terus ditahan manakala bot bersama muatan yang dianggarkan bernilai RM39,250 itu dirampas dan dibawa ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Nazri turut menasihatkan orang awam supaya tidak terlibat dengan aktiviti penyeludupan bagi mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

Comment