G57 buat laporan polis di Kota Kinabalu terkait Demo Gempur Rasuah
17:01 Jan 03, 2025  |  By SabahKini2
G57 buat laporan polis di Kota Kinabalu terkait Demo Gempur Rasuah

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pihaknya akan turut membuat laporan ke atas pelajar Universiti Sabah (UMS) yang pro Parti Warisan terbabit dalam Demo Gempur Rasuah baru-baru ini.

PUTRAJAYA: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) akan membuat laporan di balai polis Kepayan Kota Kinabalu, Sabah selepas solat Jumaat hari ini ke atas seorang individu penyokong parti Warisan Sabah.

Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, pihaknya akan turut membuat laporan ke atas pelajar Universiti Sabah (UMS) yang pro Parti Warisan terbabit dalam Demo Gempur Rasuah baru-baru ini.

Katanya, laporan itu dibuat kerana individu dan pihak yang terbabit berniat jahat memfitnah dan mengaibkan Yang Terutama Negeri Sabah, Tun Musa Aman.

"Tindakan kumpulan itu juga mempertikai Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang berkenan mengurniakan Surat Cara Pelantikan kepada Musa," katanya melalui kenyataan hari ini.

Pada 31 Disember lalu satu Perhimpunan Aman Gempur Rasuah Sabah diadakan menuntut ketelusan dan kecekapan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menangani skandal rasuah ahli-ahli politik Sabah.

Kumpulan itu juga menyatakan bantahan terhadap pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah atas dakwaan pernah terbabit dengan skandal rasuah.

Musa, 73, dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah mengikut Perkara 1 Perlembagaan Negeri Sabah, bagi tempoh empat tahun bermula 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2028.

Pelantikan Musa adalah bagi menggantikan Tun Juhar Mahiruddin yang tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Disember 2024, selepas menyandang jawatan itu selama empat penggal bermula 1 Januari 2011.

Zulkarnain berkata, pihaknya menyangkal tindakan kumpulan yang mengadakan bantahan itu kerana Musa tidak pernah terbabit dalam aktiviti menggondolkan hutan di Sabah dan beliau juga tidak pernah dijatuhi hukuman bersalah oleh mana-mana mahkamah.

Katanya, di bawah pentadbiran Musa sebagai Ketua Menteri Sabah sebanyak 53 peratus atau 3.9 juta hektar tanah telah dirizabkan secara kekal sebagai kawasan hutan simpan, kawasan perlindungan dan kawasan pemuliharaan hidupan liar melalui dasar pengurusan hutan lestari.

"Hutan yang ditanam semula itu dipulihkan dan dirawat terletak di dalam kawasan seluas 700,000 hektar dan adalah yang terbesar di Malaysia," katanya.

Comment