Objek disyaki bom ditemui di perairan Pulau Sibuan
18:01 Jan 07, 2025  |  By SabahKini2
Objek disyaki bom ditemui di perairan Pulau Sibuan

Terdahulu, Taman-Taman Sabah (TTS) dalam satu kenyataan, pihaknya telah mengambil langkah menutup sementara kawasan itu daripada kunjungan orang ramai sebagai langkah keselamatan.

SEMPORNA: Objek menyerupai bom disyaki tinggalan Perang Dunia Kedua ditemukan di perairan Pulau Sibuan, Taman Marin Tun Sakaran, di sini, hari ini.

Terdahulu, Taman-Taman Sabah (TTS) dalam satu kenyataan, pihaknya telah mengambil langkah menutup sementara kawasan itu daripada kunjungan orang ramai sebagai langkah keselamatan.

Penutupan itu dihebahkan kepada awam melalui notis di laman Facebook Taman-Taman Sabah dan menjelaskan puncanya iaitu penemuan berkemungkinan bom tinggalan Perang Dunia Kedua.

“Pelanggan yang dihargai, Notis Penutupan Sementara bagi Substesen Pulau Sibuan, Taman Marin Tun Sakaran, Semporna pada Selasa, 7 Januari 2025 hingga keadaan selamat bermula jam 12.30 tengah hari.

“Penemuan itu berkemungkinan bom Perang Dunia Kedua. Segala kesulitan berhubung perkara ini adalah sangat dikesali,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol ketika dihubungi mengesahkan ada penemuan objek menyerupai bom di perairan pulau berkenaan.

Bagaimanapun, katanya objek itu hanya disyaki bom dan belum disahkan sama ada ia adalah bahan letupan atau bukan.

“Setakat ini memang ada penemuan, tapi masih disyaki saja. Tindakan awal Taman-Taman Tun Sakaran telah membuat pemakluman dan hebahan awam serta laporan polis telah dibuat.

“Kita akan mendapatkan pengesahan daripada Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut,” katanya.

Comment