KOTA KINABALU: Polis menyerbu sebuah premis menjual senjata api tiruan dan merampas pelbagai jenis senjata api tiruan dalam satu serbuan di Kolombong, di sini pada Selasa.
Ketua JSJ Kontinjen Sabah, Datuk Azmi Abd Rahim berkata, serbuan dijalankan pada jam 2 petang itu oleh Jabatan Siasatan Jenayah D9 (Siasatan Khas) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah itu turut menahan dua individu termasuk majikan premis berkenaan.
Katanya, bertindak dengan maklumat, pasukan serbuan membuat pemeriksaan dan mendapati premis itu menjual pelbagai jenis senjata api tiruan.
"Antara senjata api tiruan yang dirampas iaitu empat unit pistol semi-auto jenama Glock dan satu pistol semi-auto jenama P Beretta serta pistol semi-auto jenama Glock Austria.
"Pasukan serbuan turut merampas 10 botol berisi peluru plastik, empat paket berisi peluru plastik dan satu unit target," katanya ketika dihubungi.
Susulan rampasan itu, beliau berkata, pasukan serbuan turut menahan seorang wanita berusia 18 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis berkenaan.
Katanya, soal siasat seterusnya membawa pasukan serbuan menahan majikan premis berkenaan pada hari sama.
"Suspek berusia 32 tahun mengaku pemilik senjata tiruan yang dirampas. Suspek turut menyatakan tidak mengetahui memiliki senjata api tiruan adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
"Suspek turut mendedahkan semua bekalan senjata api tiruan itu dibeli melalui platform media sosial TikTok," katanya.
Beliau berkata, tangkapan dan rampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 36 Akta Senjata Api 1960.
Sementara itu, Azmi mengingatkan orang ramai bahawa pembelian atas talian dan penjualan serta pemilikan senjata api tiruan adalah satu kesalahan.
"D9 JSJ Sabah akan terus menjalankan operasi dan pemantauan terhadap penjualan senjata api tiruan di Sabah. Ini kerana memiliki senjata api tiruan adalah kesalahan undang-undang walau atas apa alasan sekalipun.
"Polis tidak akan berkompromi dengan apa-apa perbuatan memiliki, membeli dan menjual senjata api tiruan. Mereka yang didapati terbabit akan berdepan dengan tindakan undang-undang," katanya.