TAWAU: Sebuah bot kargo tempatan membawa muatan 170 kotak lobak merah dianggarkan 1,190 kilogram tanpa pengisytiharan ditahan di kedudukan 0.8 batu nautika utara Sungai Melayu, semalam.
Dalam kejadian jam 11.10 pagi itu, bot kargo berkenaan ditahan pasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menerusi OP Pluto Timur dan Op Tiris.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, sebelum itu, pihaknya mengesan sebuah bot kargo bergerak laju keluar dari perairan Batu 3 menuju ke sempadan perairan Malaysia-Indonesia.
Katanya, bot ronda Maritim Malaysia bertindak menahan bot kargo berkenaan untuk pemeriksaan ke atas barang yang dibawa.
“Pemeriksaan ke atas bot berkenaan mendapati terdapat seorang lelaki warga tempatan berusia 24 tahun bertindak selaku juragan bot.
“Pemeriksaan dokumentasi seterusnya mendapati juragan bot gagal mengemukakan dokumen pengisytiharan kastam berkaitan barangan yang dibawa dan tiada daftar nama di dalam lesen bot,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, juragan, bot serta muatan yang dianggarkan bernilai RM3,400 itu kemudian diserahkan kepada pegawai penyiasat Zon Maritim Tawau.
“Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah (JPDS)2002.
“Semua barangan termasuk bot kargo, enjin dan muatan barangan disita dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah lebih RM46,000,” katanya.
Shahrizan berkata, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan berlakunya cubaan penyeludupan barangan ke negara jiran bagi pasaran luar.
“Siasatan juga akan dijalankan bagi mengenal pasti modus operandi yang digunakan oleh pengusaha barangan runcit bagi mengaburi pihak berkuasa.
“Penguatkuasaaan akan terus diperkasa bagi membanteras sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang tanpa mengira kuantiti barangan yang dibawa, khususnya di perairan Tawau,” katanya.
Katanya, Maritim Malaysia memandang serius terhadap aktiviti jenayah rentas sempadan. Aset-aset ronda akan sentiasa bersiap sedia untuk diatur gerak pada bila-bila masa dalam menghadapi sebarang situasi.
“Sebarang maklumat berkaitan jenayah di laut boleh disalurkan terus ke Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999,” katanya.