Anggota TLDM maut terbabit kemalangan di Jalan UMS
16:01 Jan 10, 2025  |  By SabahKini2
Anggota TLDM maut terbabit kemalangan di Jalan UMS

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, penunggang motosikal yang juga anggota TLDM berusia lingkungan 20-an dan pejalan kaki lelaki berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

KOTA KINABALU: Dua lelaki termasuk seorang anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan pejalan kaki di Jalan UMS, berhampiran Alamesra, di sini, malam Khamis.

Dalam kejadian kira-kira 8.30 malam itu, penunggang motosikal yang juga anggota TLDM berusia lingkungan 20-an dan pejalan kaki lelaki berusia lingkungan 40-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. 

Pembonceng motosikal lelaki berusia lingkungan 20-an cedera dan dihantar ke Hospital Queen Elizabeth II (HQE II) untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kemalangan membabitkan sebuah motosikal jenis ditunggang mangsa bersama rakannya dipercayai dari arah Jalan Sepanggar menuju ke pusat bandar raya dengan menggunakan lorong tengah jalan raya.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, dengan secara tiba-tiba seorang pejalan kaki berlari melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan dipercayai menyeberang jalan menuju ke rumah sewa di Kampung Pulau Penampang yang terletak diseberang jalan.

"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, penunggang motosikal terbabit tidak sempat untuk mengelak lalu terlanggar pejalan kaki," katanya dalam kenyataan media di sini.

Menurutnya, selepas perlanggaran itu penunggang bersama pembonceng serta motosikalnya terbabas ke hadapan sejauh tujuh meter.

"Penunggang motosikal dan pejalan kaki parah sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan bertugas. 

"Hasil siasatan mendapati kecuaian adalah disebabkan oleh pejalan kaki yang mana cuai semasa melintas jalan dan menyebabkan kemalangan berlaku. Tidak jauh dari lokasi kejadian juga terdapat jejantas untuk laluan pejalan kaki namun tidak digunakan oleh mangsa.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, Kasim berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.

"Selain itu juga pejalan kaki dinasihatkan supaya sentiasa menggunakan jejantas ataupun laluan pejalan kaki yang disediakan bagi mengelak perkara yang tidak diingini daripada berlaku," katanya.

Comment