Mangsa lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai terkena renjatan ketika melaksanakan kerja memasang talian internet sebuah syarikat telekomunikasi berhampiran kabel elektrik.
MEMBAKUT: Seorang pekerja kontrak maut selepas terkena renjatan elektrik di Jalan Bambangan, di sini.
Mangsa lelaki berusia 19 tahun itu dipercayai terkena renjatan ketika melaksanakan kerja memasang talian internet sebuah syarikat telekomunikasi berhampiran kabel elektrik.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Johainin Ruslan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.20 petang.
"Sebaik tiba di lokasi didapati terdapat seorang lelaki terkena renjatan elektrik dan menurut rakannya, mangsa terkena renjatan ketika menjalankan aktiviti memasang talian internet berhampiran kabel elektrik.
"Mangsa dihantar ke hospital oleh rakan sekerjanya sebelum ketibaan pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia di hospital oleh doktor yang bertugas," katanya ketika dihubungi.
Menurutnya, operasi dijalankan membabitkan lima anggota bersama sebuah jentera.
"Selepas memastikan keadaan selamat, operasi ditamatkan pada jam 5.12 petang," katanya.