Warga emas maut dirempuh kereta dalam perjalanan baiki jam
16:01 Jan 15, 2025  |  By SabahKini2
Warga emas maut dirempuh kereta dalam perjalanan baiki jam

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berumur 72 tahun dari Kampung Delima disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

KOTA KINABALU: Niat seorang lelaki warga emas ingin membaiki jam tangannya yang rosak berakhir tragedi apabila maut dirempuh kereta ketika melintas jalan di Jalan UMS, berhampiran di Jejambat Kampung Rampayan, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa berumur 72 tahun dari Kampung Delima disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Menurut isteri mangsa, sebelum kejadian, suaminya memberitahu mahu ke pusat bandar raya bagi membaiki jam tangannya yang rosak.

"Ketika dia (suami) memberitahu mahu keluar ke pusat bandar, saya mengatakan supaya jangan keluar rumah.

"Tetapi suami memberitahu hendak membaiki jam tangannya yang sudah rosak dan selepas itu dia terus bergerak keluar dari rumah," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, sejam selepas itu jiran memaklumkan, suaminya terbabit kemalangan tidak jauh dari rumah mereka.

"Saya kemudian bergegas ke lokasi kejadian sebelum melihat keadaan suami sudah tidak bernyawa dengan tubuhnya ditutupi kain.

"Suami tidak menunjukkan sebarang petanda ganjil kecuali menunjukkan isyarat jam tangannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati pejalan kaki yang datang dari arah kanan pembahagi jalan dengan secara tiba-tiba melintas jalan tanpa memperhatikan kenderaan yang bergerak dari lurus lalu dilanggar oleh kenderaan kompak dipandu lelaki berusia lingkungan 30-an yang datang dari arah Indah Permai ke Kota Kinabalu. 

"Disebabkan jarak yang terlalu dekat, pemandu kereta terbabit tidak sempat untuk mengelak lalu melanggar pejalan kaki.

"Akibat daripada kemalangan itu, pejalan kaki tercampak di atas jalan raya dan mengalami kecederaan parah. Mangsa disahkan meningggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas.

"Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, beliau berkata orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memandu dalam keadaan berhati-hati dan patuh kepada peraturan lalu lintas.

Selain itu juga, katanya bagi pejalan kaki pula dinasihatkan supaya sentiasa mengamalkan konsep melihat ke kiri dan kanan jalan sebelum melintas.

Comment