Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, mangsa warga tempatan cedera di beberapa anggota badannya dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.
PUTATAN: Seorang lelaki berusia 38 tahun cedera selepas terjatuh dari tingkap bilik sewa di tingkat dua, sebuah bangunan, di sini.
Dalam kejadian jam 12.20 tengah hari itu, mangsa warga tempatan cedera di beberapa anggota badannya dan kini dirawat di Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, sebaik menerima maklumat daripada orang awam, Unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Putatan bergegas ke lokasi kejadian.
"Setiba di lokasi kejadian mendapati seorang lelaki terbaring di atas jalan raya dipercayai terjatuh dari tingkap bilik sewa di tingkat dua bangunan berkenaan.
"Mangsa yang cedera kemudian dibawa ke HQE Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut dan mangsa dilaporkan stabil," katanya dalam kenyataan media.
Sehubungan itu, Sammy berkata orang ramai atau saksi kejadian diminta untuk tampil memberikan maklumat bagi membantu siasatan di balai polis berhampiran.
"Polis juga meminta orang ramai untuk tidak memuat naik atau menyebarkan gambar di tempat kejadian di mana-mana platform media sosial yang boleh mengganggu siasatan polis dan juga sensitiviti mangsa dan keluarga," katanya.