JIM Sabah hantar pulang PTI warga China, Mesir
16:01 Jan 17, 2025  |  By SabahKini2
JIM Sabah hantar pulang PTI warga China, Mesir

Semua PTI yang ditahan di Depot Imigresen Papar itu dipindahkan menggunakan pengangkutan udara AirAsia untuk penghantaran pulang ke Guangzhou, China dan Kaherah, Egypt.

KOTA KINABALU: Seramai 13 pendatang asing tanpa izin (PTI) warga China dan seorang warga Mesir dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK), di sini.

Semua PTI yang ditahan di Depot Imigresen Papar itu dipindahkan menggunakan pengangkutan udara AirAsia untuk penghantaran pulang ke Guangzhou, China dan Kaherah, Egypt. 

Pengarah Jabatan Imigresen Negeri Sabah (JIM), Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program pemindahan tahanan PTI kali ini semuanya membabitkan lelaki dewasa.

"Pemindahan tahanan PTI warga China atas program pembiayaan sendiri dilaksanakan daripada Depot Imigresen Papar, melalui LTAKK menggunakan pengangkutan udara China Southern Airlines untuk dihantar ke Guangzhou, China.

"Manakala seorang tahanan warga Mesir pula melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke Kaherah, Egypt," katanya dalam kenyataan media.

Menurutnya, kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PTI oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan hubungan kerjasama daripada pihak Kedutaan Asing di Malaysia.

“Operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi kesemua tahanan yang ditempatkan di Depot-Depot Imigresen di Sabah bagi memendekkan tempoh penahanan tahanan.

"Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang diberikan.

"Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

"Ia juga termasuk individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata JIM Sabah menasihatkan majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.

"JIM Sabah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PTI di negara ini," katanya. 

Comment