Petronas pindahkan pengendalian PSC Kluster Kebabangan kepada ConocoPhillips berkuat kuasa 21 Januari
23:01 Jan 24, 2025  |  By SabahKini2
Petronas pindahkan pengendalian PSC Kluster Kebabangan kepada ConocoPhillips berkuat kuasa 21 Januari

Pemindahan itu, melalui Malaysia Petroleum Management (MPM), berkuat kuasa pada 21 Januari 2025, menjadikan ConocoPhillips Sabah Gas sebagai pengendali tunggal kluster medan minyak dan gas.

KUALA LUMPUR: Petronas memindahkan pengendalian Kontrak Perkongsian Pengeluaran Kluster Kebabangan (KBBC PSC) kepada ConocoPhillips Sabah Gas Ltd., anak syarikat ConocoPhillips.

Pemindahan itu, melalui Malaysia Petroleum Management (MPM), berkuat kuasa pada 21 Januari 2025, menjadikan ConocoPhillips Sabah Gas sebagai pengendali tunggal kluster medan minyak dan gas.

Sebelum ini, KBBC PSC dikendalikan oleh Kebabangan Petroleum Operating Company Sdn Bhd (KPOC), sebuah syarikat operasi bersama yang terdiri daripada Petronas Carigali Sdn Bhd, Shell Energy Asia Ltd, dan ConocoPhillips Sabah Gas Ltd.

"Dengan kapasiti eksport sehingga 750 juta kaki padu gas standard sehari, penerusan KBBC PSC sehingga akhir 2050 dan perjanjian komersial lain telah distruktur untuk memastikan pembangunan medan gas masa depan kekal menarik dari segi ekonomi dalam menyokong keselamatan tenaga Sabah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, negeri itu sedang pesat membangun sebagai destinasi pilihan untuk pelaburan minyak dan gas, hasil pembangunan strategik dan perkongsian yang diperjuangkan Petronas dan rakan usaha sama industrinya.

"Inisiatif ini menekankan potensi besar sumber Sabah dan mengukuhkan komitmen kami untuk memacu pertumbuhan ekonomi dan mewujudkan peluang untuk rakyat kami. Kami berharap untuk terus bekerjasama dengan Petronas demi kepentingan terbaik Sabah," katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan MPM Datuk Ir. Bacho Pilong berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah atas sokongan mereka dalam memupuk persekitaran yang kondusif untuk pelaburan minyak dan gas.

Beliau berkata, kerjasama itu mencerminkan komitmen bersama kami bagi merealisasikan pertumbuhan perniagaan dan meningkatkan keselamatan tenaga.

"Kami juga berbesar hati mengalu-alukan peranan ConocoPhillips yang diperluas dalam sektor huluan Malaysia, yang menekankan keyakinan berterusan terhadap potensi tenaga negara," katanya.

Dalam pada itu, Petronas kekal teguh dengan komitmennya bagi memastikan bekalan minyak dan gas yang optimum dan mampan untuk keselamatan tenaga, dengan MPM memainkan peranan penting dalam menguruskan pengaturan petroleum dan menyediakan pengawasan untuk aktiviti petroleum huluan di Malaysia.

Comment