Jumlah mangsa banjir di Sabah terus meningkat secara mendadak setakat jam 9 malam ini, dengan bilangan penduduk terjejas mencecah1,587 yang membabitkan 535 keluarga di empat daerah.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan mereka yang terbabit itu adalah di daerah Kota Marudu, Beluran, Beaufort dan Tongod.
Katanya, sebanyak 10 pusat pemindahan sementara (PPS) sudah diaktifkan bagi menempatkan semua mangsa banjir berkenaan.
"Kota Marudu kekal sebagai daerah paling ramai merekodkan mangsa banjir iaitu 1,241 orang daripada 438 keluarga dengan lima PPS dibuka di daerah ini.
"Ia diikuti daerah Beluran dengan 190 mangsa membabitkan 55 keluarga. Semua penduduk terbabit sudah ditempatkan di tiga PPS.
"Beaufort menjadi daerah ketiga tertinggi iaitu seramai 102 daripada 29 keluarga yang dipindahkan ke satu PPS setakat ini.
"Tongod pula terdapat 54 mangsa membabitkan 13 keluarga. Semua penduduk daerah ini yang terjejas ditempat di satu PPS," katanya.