KOTA KINABALU: Situasi banjir di Sabah semakin pulih setakat jam 4 petang tadi dengan hanya 675 mangsa membabitkan 181 keluarga masih ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah dalam kenyataanya menyatakan statistik berkenaan menunjukkan penurunan ketara berbanding 1,651 orang membabitkan 537 keluarga pagi tadi.
"Hanya daerah Lahad Datu dan Tongod yang merekodkan mangsa banjir. Lahad Datu kekal dengan 520 mangsa daripada 140 keluarga.
"Semua penduduk terjejas di daerah terbabit ditempatkan di PPS Dewan AVTC Segama iaitu 146 daripada 40 keluarga dan PPS Dewan Kolej Vokasional Lahad Datu (374 daripada 100 keluarga)," katanya.
APM Sabah berkata di daerah Tongod juga tidak menunjukkan sebarang pertambahan mangsa petang ini iaitu kekal 155 daripada 41 keluarga.
Katanya, seramai 92 mangsa daripada 24 keluarga berada di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kenang-Kenangan manakala selebihnya iaitu 63 babitkan 17 keluarga masih di tempatkan di PPS SK Keramuk.