Pesawat terhempas di Philadelphia, 7 maut dan 19 cedera
18:02 Feb 02, 2025  |  By SabahKini2
Pesawat terhempas di Philadelphia, 7 maut dan 19 cedera

Datuk Bandar Philadelphia, Cherelle Parker, berkata sekurang-kurangnya seorang lagi mangsa yang berada dalam sebuah kereta, turut terkorban, dan 19 orang lagi mengalami kecederaan.

PHILADELPHIA: Jumlah korban nahas jet yang membawa pulang seorang kanak-kanak Mexico dari hospital di Philadelphia meningkat kepada tujuh orang, menurut pihak berkuasa semalam dengan 19 lagi cedera.

Nahas terbabit adalah bencana penerbangan kedua besar di Amerika Syarikat (AS) minggu ini, berlaku kelmarin Jumaat apabila pesawat Learjet 55 terhempas di daerah berpenduduk padat di Philadelphia dengan serpihan pesawat terkena rumah dan kenderaan.

Pihak berkuasa sebelum ini menyatakan kesemua enam yang berada di dalam pesawat membabitkan seorang kanak-kanak perempuan yang berada di AS untuk rawatan perubatan, ibunya, serta kru penerbangan dan perubatan yang menemaninya maut. Kesemua mereka adalah warga Mexico.

Datuk Bandar Philadelphia, Cherelle Parker, berkata sekurang-kurangnya seorang lagi mangsa yang berada dalam sebuah kereta, turut terkorban, dan 19 orang lagi mengalami kecederaan.

Bercakap pada sidang media, Parker memberi amaran jumlah korban itu belum muktamad dan berkemungkinan akan meningkat.

"Masih banyak perkara yang kami tidak diketahui mengenai siapa yang berada berhampiran jalan kejiranan ini ketika kejadian," kata Pengarah Pengurusan Bandar, Adam Thiel, sambil memberi amaran mungkin akan mengambil beberapa hari sebelum jumlah sebenar dapat diketahui.

Beliau berkata kawasan terjejas meliputi empat hingga enam blok, dan terdapat juga serpihan di kawasan terpencil yang terjejas akibat kemalangan itu.

Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, melahirkan ucapan takziah melalui platform media sosial X.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) AS berkata ia sudah memulakan siasatan bersama Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB).

Kedua-dua agensi terbabit kini sedang menyiasat bencana udara paling maut di AS hampir 25 tahun, selepas sebuah pesawat penumpang yang dikendalikan oleh anak syarikat American Airlines bertembung dengan sebuah helikopter Black Hawk pada Rabu lalu

Pesawat berkenaan dengan 64 penumpang sedang mendarat di Lapangan Terbang Nasional Reagan di Washington, tidak jauh dari Rumah Putih apabila ia bertembung dengan helikopter Tentera AS yang sedang menjalani latihan.

Comment