KOTA KINABALU: Seramai 149 mangsa banjir ditempatkan semula di pusat pemindahan sementara (PPS) Selagon di Beaufort selepas air Sungai Padas kembali melimpahi tebing dan menenggelami kampung sekitarnya hari ini.
PPS terbabit sebelum ini ditutup pada 2 Februari lalu selepas dibuka pada 27 Januari berikutan banjir yang menenggelami beberapa kampung di daerah berkenaan ketika itu dilaporkan sudah pulih.
Bagaimanapun, banjir gelombang kedua kembali melanda daerah itu hari ini dipercayai kesan daripada hujan lebat berterusan di hulu Sungai Padas, khususnya di Keningau dan Tambunan yang turut berdepan bencana banjir sejak malam tadi. Pembukaan semula PPS Selagon diisytiharkan Pegawai Daerah Beaufort, Mohd Nazri Ajun, berkuat kuasa pada jam 1 tengah hari tadi selepas pemeriksaan kawasan dan rumah penduduk terjejas bencana (PTB) didapati tidak selamat untuk didiami.
Pembukaan semula PPS Selagon di Beaufort menjadikan empat PPS mangsa banjir beroperasi di Sabah setakat malam ini dengan dua lagi di Kinabatangan dan satu di Keningau.