KOTA KINABALU: Kerajaan negeri telah meluluskan projek bernilai RM30 juta bagi mengatasi masalah lalu lintas yang dihadapi pengguna di Jalan Kionsom dan Jalan Tuaran.
Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Datuk Dr Roland Chia berkata, antara penambahbaikan yang akan dilakukan adalah meletakkan lampu isyarat dan meluaskan jalan raya yang sedia ada.
"Pusingan bulatan adalah punca utama kesesakan lalu lintas, sekiranya kita meletakkan lampu isyarat dan meluaskan jalan, ia sudah pasti mampu mengurangkan masalah kesesakan jalan raya.
"Pusingan bulatan itu sudah berada di sana lebih daripada 40 tahun...inilah antara rancangan yang telah diluluskan kerajaan dibawah Ketua Menteri," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2025, Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) DUN Inanam, di sini hari ini.
Beliau berkata, dengan siapnya projek lebuh raya Pan Borneo yang menghubungkan Putatan-Inanam-Manggatal, kesesakan jalan raya sudah pasti akan berkurangan nanti.
Bagaimanapun katanya, pelaksanaan projek berkenaan sememangnya memerlukan masa atau tempoh tertentu. Ia tidak boleh dibina semalaman.
"Perkara ini adalah satu inisiatif yang baik daripada kerajaan negeri dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
"Berkenaan dengan isu air, untuk kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, penduduk di sini tidak berhadapan dengan masalah bekalan air yang besar," katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya sekiranya diberikan mandat menjadi calon Gagasan Rakyat di DUN Inanam pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Roland yang juga Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Inanam berkata, ia terpulang kepada budi bicara Ketua Menteri.
Katanya, perkara yang penting adalah kestabilan politik dan mahu kerajaan sedia ada meneruskan pemerintahan dengan stabil.
"Kerajaan yang stabil membolehkan ekonomi negeri berkembang dan rakyat juga menerima limpahan kemakmuran ekonomi," katanya.
Hadir menyempurnakan majlis itu ialah Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.