76 PTI dihantar pulang JIM Sabah ke negara asal
16:02 Feb 13, 2025  |  By SabahKini2
76 PTI dihantar pulang JIM Sabah ke negara asal

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua PTI yang ditahan di Depot Imigresen Sandakan itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Bongao, Filipina.

LAHAD DATU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 76 pendatang tanpa izin (PTI) warga Filipina bagi Operasi Pemindahan Tahanan ke Negara Asal, semalam.

Penghantaran pulang bagi kategori Usir melalui laut itu dijalankan di Kompleks Imigresen, Kastam Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Lahad Datu.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua PTI yang ditahan di Depot Imigresen Sandakan itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Bongao, Filipina.

Katanya, PTI terbabit terdiri daripada 48 lelaki, 11 wanita dewasa, 12 kanak-kanak lelaki dan 11 kanak-kanak perempuan berusia lingkungan tiga bulan hingga 76 tahun.

“Semua tahanan kanak-kanak berkenaan balik ke negara asal dengan diiringi oleh ibu dan bapa atau penjaga yang sah.

“Kos program penghantaran balik PTI ke negara asal ini pula adalah atas pembiayaan sendiri semua warga asing yang terbabit,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, semua PTI berkenaan melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“PTI yang ditahan dan dihantar pulang ini akan disenaraihitamkan dalam sistem Jabatan Imigresen Malaysia mengikut jenis kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Katanya, pada 2025 sehingga semalam, seramai 221 tahanan PT warga Filipina direkodkan pulang ke negara asal dan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 437 warganegara asing yang berjaya dipindahkan ke negara asal.

“Berdasarkan rekod statistik pemindahan tahanan asing ke negara asal daripada Sabah menunjukkan bilangan tertinggi yang dipindahkan adalah warga Filipina seramai 221 orang (50 peratus), diikuti 165 warga Indonesia (37 peratus).

“Selain itu, 33 warga Pakistan (8 peratus), 12 orang warga China (3 peratus), tiga warga Vietnam (1 peratus) dan tiga orang lain-lain warganegara (1 peratus),” katanya.

SH Sitti Saleha berkata, operasi pemindahan tahanan asing ke negara asal adalah tertakluk kepada pengeluaran segera dan berterusan Travel Dokumenoleh pihak Kedutaan Republik Filipina di Malaysia,” katanya.

“JIM Sabah terus komited melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan serta undang-undang negara,” katanya.

Comment