Lelaki tidak pulang sejak keluar memancing, dikhuatiri hilang
17:02 Feb 17, 2025  |  By SabahKini2
Lelaki tidak pulang sejak keluar memancing, dikhuatiri hilang

Mangsa, berusia 33 tahun itu dilaporkan tidak pulang sejak keluar memancing, kira-kira jam 5 petang semalam, sebelum keluarganya bertindak mencari di lokasi kejadian.

SEMPORNA: Seorang lelaki dikhuatiri hilang selepas melakukan aktiviti memancing di kawasan tepi laut Kampung Bukit Lalang, di sini, semalam.

Mangsa, berusia 33 tahun itu dilaporkan tidak pulang sejak keluar memancing, kira-kira jam 5 petang semalam, sebelum keluarganya bertindak mencari di lokasi kejadian.

Bagaimanapun, kereta dan joran dipercayai milik mangsa ditemukan di lokasi berhampiran jambatan Kampung Bukit Lalang oleh ahli keluarganya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, Madzlan Sarman berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 7.15 pagi tadi.

Katanya, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama dua jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi mendapatkan maklumat lanjut dan seterusnya menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

“Menurut maklumat diterima, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas keluar melakukan aktiviti memancing, semalam.

“Keluarga mangsa yang bertindak mencari mangsa di lokasi kejadian hanya menemukan kereta dan joran milik mangsa sahaja,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Madzlan berkata, pihaknya terus bertindak menjalankan operasi SAR di sekitar lokasi mangsa dilaporkan hilang.

“Sehingga kini mangsa masih belum ditemukan dan maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Comment