SOGIP penting sebagai pemangkin pertumbuhan sektor tenaga, ekonomi Sabah
16:02 Feb 19, 2025  |  By SabahKini2
SOGIP penting sebagai pemangkin pertumbuhan sektor tenaga, ekonomi Sabah

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata SOGIP telah memperoleh banyak pelaburan termasuk berimpak tinggi antaranya Syarikat Esteel untuk kilang keluli dengan nilai pelaburan berfasa sebanyak RM20 bilion.

KOTA KINABALU: Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan sektor tenaga yang amat penting untuk pertumbuhan berterusan ekonomi negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata SOGIP telah memperoleh banyak pelaburan termasuk berimpak tinggi antaranya Syarikat Esteel untuk kilang keluli dengan nilai pelaburan berfasa sebanyak RM20 bilion.

Beliau berkata, terbaharu Projek Hub Tenaga, Minyak dan Gas bernilai RM8.88 bilion (AS$2 bilion) iaitu kerjasama antara Sabah Oil and Gas Development Corporation (SOGDC) yang menguruskan SOGIP dan Gibson Shipbrokers Limited, sekaligus akan menjadikan Sabah sebagai hab utama dalam sektor tenaga Asia Tenggara.

Susulan itu, katanya pihaknya terus komited dalam memberikan sokongan penuh kepada pelaburan yang mampu membawa manfaat jangka panjang kepada rakyat Sabah.

"Saya yakin dengan kejayaan projek ini, ia akan menjadi pemangkin kepada pertumbuhan industri minyak dan gas, sekaligus menjadikan Sabah sebagai hab tenaga yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

"Kita bersyukur kerana Sabah kaya dengan sumber semula jadi seperti hutan, galian, fauna, flora serta hidupan laut.

"Lokasi strategik, persekitaran politik stabil, sumber semula jadi yang banyak, dan ekonomi yang pelbagai antara faktor menjadikan Sabah sebagai pilihan sesuai untuk pelabur asing," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum di SOGIP bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut berkata projek Pembinaan Loji Penyimpanan dan Penapisan Minyak Petroleum milik Petroventure Energy Sdn Bhd yang dijangka bermula pada bulan April ini, akan membantu dalam peningkatan ekonomi negeri ini.

Menurutnya, projek itu bakal menyaksikan pembinaan loji penapisan minyak berkapasiti sehingga 150,000 tong sehari (BPD) serta kemudahan penyimpanan minyak sebanyak tiga juta meter padu bagi minyak mentah dan produk petroleum yang telah ditapis.

"Ini adalah satu lagi pelaburan baharu yang strategik yang sudah pasti akan mmengukuhkan kedudukan Sabah sebagai hab industri minyak dan gas di rantau ini," katanya.

Hajiji berkata, dengan keluasan tanah 400 ekar di SOGIP, projek ini bukan saja mampumembawa pelaburan asing langsung (FDI) bernilai lebih AS$3.5 bilion (RM15.5 bilion), juga bakal mewujudkan hampir 5,000 peluang pekerjaan kepada rakyat di negeri ini.

Menurutnya, dijangkakan lebih 3,000 orang tenaga pekerja diperlukan sewaktu pembinaan projek ini dan lebih 1,000 orang tenaga pekerja tetap diperlukan sewaktu loji ini beroperasi sepenuhnya.

"Semua ini memberi petanda baik dalam usaha kita untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat. Saya sentiasa menekankan kepentingan mengutamakan pengambilan tenaga kerja Sabah dalam semua projek dan operasi di negeri ini.

"Saya mahu semua pemain industri mematuhi keperluan asas ini, sebagai prinsip utama dalam komitmen kita terhadap pembangunan tempatan," katanya.

Beliau turut menambah projek terbabit turut merangkumi pembangunan jeti, fasiliti pemeringkatan minyak, makmal ujian petroleum dan bangunan pentadbiran.

Comment