TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tawau merekodkan sebanyak RM2.5 juta kompaun membabitkan 108 tangkapan sepanjang tahun lepas.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata jumlah itu adalah hasil pemeriksaan sebanyak 9,187 yang dijalankan sepanjang operasi di perairan daerah ini.
Katanya, kejayaan tangkapan itu juga yang tertinggi direkodkan di seluruh negara mengikut zon pada tahun lepas dan ia adalah hasil keberkesanan operasi dijalankan oleh pasukan Zon Maritim Tawau.
“Kita adalah antara penyumbang terbanyak kepada tangkapan dalam Maritim Negeri Sabah sepanjang tahun 2024 menerusi operasi-operasi dilaksanakan di perairan daerah ini.
“Maritim Negeri Sabah telah mendapat penganugerahan dan diberikan Piala Laksamana di atas pencapaian yang lakar tahun lepas,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena Hari Ulang Tahun Dua Dekad Maritim Malaysia ‘Perisai Samudera Negara’ Tahun 2025, di sini hari ini.
Sementara itu, katanya, sepanjang sebulan tahun ini pula, Zon Maritim Tawau telah membuat lapan tangkapan menerusi 543 pemeriksaan.
“Kebanyakkan kes tangkapan dan rampasan yang dilakukan sepanjang tahun ini adalah melibatkan kesalahan Akta Kawalan Bekalan (AKB).
“Kes penyeludupan rokok dan dadah juga dalam pemerhatian kita, malah kita sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat mengenai kes berkenaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, Zon Maritim Tawau kekal dengan dua buah bot dan satu kapal dalam menjalankan operasi setiap hari di perairan Tawau.
“Namun, menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya akan datang, kemungkinan kita akan tambah aset yang sentiasa bersedia untuk diarahkan beroperasi pada bila-bila masa,” katanya.
Mengulas mengenai sambutan ini, Shahrizan berkata, ia sedikit berbeza kerana bermula bersama rakan strategik seperti Media, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pusat perbankan di daerah ini.
“Pada 22 Febuari depan pula turut diadakan aktiviti ‘boat ride’ yang mana kita membuka peluang kepada masyarakat di daerah ini menaiki bot Maritim Malaysia.
“Kita akan bawa pelawat mengelilingi sepanjang perairan Tawau dan melawat kapal Maritim Malaysia yang sedang bersauh,” katanya.