Armizan bidas pembangkang persoal ketua menteri rayu rakyat
20:02 Feb 28, 2025  |  By SabahKini2
Armizan bidas pembangkang persoal ketua menteri rayu rakyat

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata Hajiji yang juga Pengerusi GRS sudah membentangkan semua pencapaian dan hala tuju kerajaan di bawah kepimpinan beliau ketika sesi bersama penjawat awam negeri, baru- baru ini.

PAPAR: Timbalan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali membidas pemimpin UMNO Sabah mempersoal tindakan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang meminta rakyat negeri ini memberi peluang terus memerintah Sabah selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata Hajiji yang juga Pengerusi GRS sudah membentangkan semua pencapaian dan hala tuju kerajaan di bawah kepimpinan beliau ketika sesi bersama penjawat awam negeri, baru- baru ini.

"Saya tidak pasti kalau individu yang bercakap itu tidak merayu. Kita tengoklah keputusan nanti. Selaku ahli politik, sudah menjadi tanggungjawab kita untuk meyakinkan rakyat.

"Tiada masalah untuk merayu dengan menunjukkan pencapaian kita kepada rakyat dan meminta mereka mempertimbangkan sama ada wajar atau sebaliknya kerajaan ketika ini meneruskan mandat sedia ada.

"Jika ada pihak yang tidak mahu merayu, tahniah. Mungkin mereka yakin boleh memenangi hati rakyat dengan mudah.

"Oleh itu, rakyat-rakyat tidak perlulah lagi mendengar rayuan mereka," katanya selepas merasmikan Program Advokasi Sara Hidup dan Pembukaan Akaun Bank Penerima SYUKUR Parlimen Papar, di sini, hari ini.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang mempersoalkan kejayaan pelaksanaan hala tuju Sabah Maju Jaya (SMJ).

Bung dipetik berkata Hajiji tidak perlu merayu dan meminta simpati rakyat Sabah jika kepimpinan kerajaan negeri di bawahnya ketika ini berfungsi dengan baik.

PRN17 Sabah dijangka diadakan pada bila-bila masa dari sekarang dengan tempoh pemerintahan kerajaan GRS pimpinan Hajiji dijadual berakhir Oktober ini.

Comment