KOTA KINABALU – Kerajaan Sabah menggesa syarikat-syarikat perkhidmatan minyak dan gas (OGSE) di negeri ini untuk merebut peluang yang ditawarkan oleh Petronas dalam tempoh dua tahun akan datang.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, sektor OGSE mencatatkan pertumbuhan luar biasa tahun lalu, dengan kontrak yang diberikan kepada syarikat Sabah melonjak daripada RM613 juta pada 2021 kepada lebih RM2 bilion.
Menurutnya, bagi memastikan kejayaan, syarikat OGSE tempatan perlu memenuhi piawaian ketat Petronas selain membentuk perkongsian strategik yang mampu membuka peluang baharu dalam industri.
“Ini termasuk peningkatan antara 50 hingga 100 peratus dalam jumlah kerja tempatan yang diberikan kepada syarikat Sabah, serta pertambahan jumlah kontrak yang dipegang oleh syarikat berpengalaman,” katanya dalam satu kenyataan sempena pelancaran Unjuran Aktiviti Kinabalu (KAO) 2025-2027.
KAO, yang dilancarkan bersama oleh Kerajaan Sabah dan Petronas pada 28 Februari lalu, merupakan pelan strategik bagi memperkasakan syarikat OGSE tempatan dengan memberikan pandangan kritikal terhadap peluang yang bakal ditawarkan oleh Petronas, anak syarikatnya serta kontraktor pengaturan petroleum lain (PAC).
Pelan itu dijangka menyediakan hala tuju jelas kepada syarikat OGSE tempatan bagi memanfaatkan peluang baharu serta mengukuhkan kedudukan mereka dalam industri minyak dan gas.
Sementara itu, Naib Presiden Kumpulan Petronas, Rashidah Alias, menegaskan bahawa syarikat minyak nasional itu komited sepenuhnya dalam menyokong pertumbuhan dan pembangunan sektor OGSE di Sabah.