TAWAU: Seorang lelaki maut selepas kenderaan pacuan empat roda dipandu terbabas dan jatuh ke gaung sedalam 30 meter di Batu 38 Jalan Kalabakan, di sini, pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.10 pagi.
Katanya, seramai lima anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 165 kilometer dari balai bomba.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai terbabas sendiri dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 30 meter.
“Terdapat seorang mangsa iaitu pemandu terlibat dalam kemalangan itu dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menjalankan operasi mengangkat mayat mangsa menggunakan ‘Jungkin Stretcher’ dan menyerahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.
“Setelah memastikan tiada lagi bahawa lain yang wujud di lokasi, pasukan bomba kemudian menamatkan operasi pada jam 12.30 tengah hari,” katanya.