TAWAU: Sebuah bot kargo ditahan selepas disyaki cuba menyeludup keluar pelbagai barang kawalan di kedudukan 2.2 batu nautika selatan Tanjung Batu, di sini, Selasa lalu.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, turut ditahan seorang juragan warga tempatan berusia 30 tahun dan pembantunya lelaki warga asing berusia 25 tahun.
Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata semua rampasan dan tangkapan itu dilakukan menerusi Ops Pagar Laut 1/2025 yang dilaksanakan di perairan daerah ini.
Katanya, sebelum itu pihaknya mengesan pergerakan sebuah bot kargo sarat dengan muatan bergerak dari Jeti Makmur menuju ke Pulau Sebatik.
“Susulan itu, kapal peronda Maritim Malaysia KM Medang bertindak mengejar dan menahan bot kargo berkenaan untuk pemeriksaan dokumentasi ke atas barang yang dibawa.
“Pemeriksaaan awal mendapati juragan terbabit gagal mengemukakan sebarang permit berkaitan barang kawalan yang dibawa dan hanya mempunyai dokumen pengikraran barangan runcit ke Pulau Sebatik,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, juragan bersama bot kargo serta muatan barang kawalan berkenaan seterusnya dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau untuk pemeriksaan dan siasatan lanjut.
“Hasil penggeledahan ke atas bot kargo itu menemukan sejumlah 2,110 kilogram gula pasir serta 820 kilogram minyak masak berpaket di dalam bot kargo berkenaan.
“Semua barang kawalan termasuk bot kargo dan enjin yang dianggarkan bernilai RM40,000 dirampas dan kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
Shahrizan berkata, siasatan juga akan dijalankan ke atas unsur penyeludupan ke negara jiran berikutan permintaan pada musim perayaan.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus memperkasakan tugas penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang di Zon Maritim Malaysia khususnya di perairan Timur Sabah (ESSZONE).
“Kerjasama dengan agensi-agensi lain akan terus diperkukuhkan demi memastikan undang-undang negara sentiasa dipatuhi.
“Salurkan sebarang salah laku jenayah yang berlaku di sekitar perairan Tawau ke talian Pusat Operasi Zon Maritim Tawau 089-752116 dan talian kecemasan 999,” katanya.