PPM rampas rokok seludup bernilai RM569,800
16:03 Mar 26, 2025  |  By SabahKini2
PPM rampas rokok seludup bernilai RM569,800

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan rokok di lokasi berkenaan.

TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya merampas rokok seludup dianggarkan bernilai RM569,800 di sebuah bangunan lama di lorong Kampung Titingan 5, di sini, semalam.

Semua rokok yang disyaki diseludup masuk dari negara jiran itu dirampas dalam satu serbuan oleh Unit Risikan Marin PPM Tawau, kira-kira jam 4 petang.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat risikan mengenai aktiviti penyeludupan rokok di lokasi berkenaan.

Katanya, serbuan dan pemeriksaan ke atas satu bangunan lama di kawasan itu menemukan beberapa kotak dalam keadaan mencurigakan.

“Pemeriksaan seterusnya menemukan pelbagai jenama rokok yang dipercayai di seludup masuk dari negara jiran

“Siasatan awal dipercayai bangunan itu dijadikan sebagai tempat pemunggahan sementara sebelum rokok itu diambil dan dijual ke pasaran dalam dan luar daerah ini,” katanya dalam kenyataan media, di sini, semalam.

Nazri berkata, semua rokok yang dianggarkan bernilai RM569,800 itu dibawa ke Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau.

“Siasatan masih diteruskan dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Comment