Jetama Sdn Bhd perkenalkan inisiatif SOPMOD, bantu masyarakat pedalaman
23:04 Apr 07, 2025  |  By SabahKini2
Jetama Sdn Bhd perkenalkan inisiatif SOPMOD, bantu masyarakat pedalaman

Pengerusi Jetama Sdn Bhd, Datuk Yussof Abdul Manan berkata, teknologi berkenaan direka khas dengan teknologi menggunakan tenaga suria untuk mengepam air dari bawah tanah ke permukaan.

KOTA KINABALU: Jetama Sdn Bhd memperkenalkan inisiatif inovatif Solar-Powered Modular System (SOPMOD) bagi membantu masyarakat pedalaman yang tidak mempunyai akses kepada bekalan elektrik dan air bersih.

Pengerusi Jetama Sdn Bhd, Datuk Yussof Abdul Manan berkata, teknologi berkenaan direka khas dengan teknologi menggunakan tenaga suria untuk mengepam air dari bawah tanah ke permukaan.

Katanya, kemudahan itu sekali gus membekalkan air bersih untuk keperluan harian penduduk di kawasan pedalaman.

"Pada ketika ini kita ada permintaan daripada beberapa kawasan...antaranya yang akan dibuat adalah di Pulau Banggi.

"Ada 10 tempat sudah memohon untuk kita membangunkan sistem ini, tetapi ini bergantung kepada kita punya penghantaran sebab ia agak rumit sedikit...jadi akan mengambil masa bagi kita mahu ke pulau.

"Walaupun kini agak perlahan tetapi ia tetap akan dilaksanakan," katanya ketika ditemui media dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri 2025 anjuran Jetama Sdn Bhd di Kota Kinabalu pada Ahad.

Dalam pada itu, syarikat konsesi air Kota Kinabalu itu turut menyumbang sebanyak RM560,000 kepada Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) dan enam buah rumah kebajikan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM500,000 diserahkan kepada YKS dan masing-masing RM10,000 disumbangkan kepada rumah kebajikan terlibat.

Antara rumah kebajikan terlibat adalah Jireh Home Tuaran, Rumah Anak Yatim Home Tuaran, Rumah Anak Yatim As-Sakinah Lok Kawi Papar, Rumah Kanak-Kanak Kota Kinabalu Beringgis Papar, Rumah Amal Kasih Kingfisher Kota Kinabalu dan Rumah Bakti Harapan Inanam.

Majlis penyampaian sumbangan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Ketua Menteri Sabah yang juga Menteri Kerja Raya, Datuk Shahelmey Yahya, dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Masidi Manjun.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jetama Sdn Bhd, Datuk Juhari Janan dan Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd Datuk Ahmad Naim Uddang.

1 Comment