KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerusi Bahagian Zakat dan Fitrah (BZF) menganggarkan jumlah pungutan zakat harta dan zakat fitrah tahun ini sebanyak RM155 juta.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Ruslan Muharam berkata, jumlah berkenaan melibatkan pungutan zakat fitrah yang dianggarkan berjumlah RM12.6 juta dan sasaran jumlah pembayar seramai 1.68 juta orang bagi tahun ini.
Katanya, jumlah sebenar hasil kutipan zakat fitrah masih belum dapat dimuktamadkan kerana masih dalam proses pengiraan serta pengauditan.
"Bagi pengagihan zakat pada bulan Ramadan tahun ini, BZF memperuntukkan dana sebanyak RM20.1 juta untuk diagihkan kepada asnaf yang berhak.
"Sejumlah RM18,462,950 diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf di bawah Skim Bulanan dan Hari Raya," katanya yang mewakili Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif yang memegang Portfolio Exco Agama.
Ruslan menjawab soalan Datuk Amisah Yassin (ADUN Dilantik) mengenai jumlah hasil kutipan zakat fitrah di Sabah bagi 2025/1446 dan jumlah penerima bantuan Ramadan bagi tahun ini.
Menurutnya, daripada dana yang diperuntukkan kepada golongan asnaf, ia melibatkan pengagihan sebanyak RM8,016,650 kepada 12,841 fakir, RM9,229,800 kepada 30,766 golongan miskin, dan RM1,216,500 kepada 4,055 mualaf.
Katanya, selebihnya RM1.6 juta pula akan diagihkan kepada wakil-wakil amil yang dilantik oleh MUIS dengan seramai 2,050 orang wakil amil fitrah pada tahun ini.