SEMPORNA: Sekurang-kurangnya lima buah rumah atas air musnah sepenuhnya dalam kebakaran di Kampung Balimbang Berjasa, Pulau Bum-Bum, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, dua buah bot turut musnah sepenuhnya dan sebuah lagi terbakar 10 peratus.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Mohd Akhimullah Adan berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 11.37 pagi.
Katanya, sepasukan sepuluh anggota dan pegawai berserta tiga buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi pemadaman.
“Operasi turut dibantu oleh anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Sebaik tiba, pasukan operasi mendapati terdapat lima buah rumah musnah sepenuhnya dan sebuah lagi terbakar dua peratus,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba menggunakan dua pancutan pam angkut dari sumber air terbuka (air laut) dalam operasi berkenaan.
“Setakat ini tiada kemalangan jiwa atau kecederaan yang dilaporkan berlaku kepada mangsa terlibat dan operasi terkawal pada jam 12.20 tengah hari.
“Pasukan bomba menjalankan pemeriksaan akhir bagi memastikan lokasi kebakaran selamat, sebelum operasi ditamatkan pada jam 2.16 petang,” katanya.