Jidar simpanan bekalan elektrik Sabah dijangka meningkat kepada 20%
23:04 Apr 16, 2025  |  By SabahKini2
Jidar simpanan bekalan elektrik Sabah dijangka meningkat kepada 20%

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelbagai langkah mitigasi interim dan fast track untuk meningkatkan lagi jidar simpanan penjanaan dan menampung permintaan tambahan bekalan elektrik telah diluluskan.

KOTA KINABALU: Kadar jidar simpanan elektrik Sabah yang kini pada 12.4 peratus dijangka dapat ditingkatkan kepada 20 peratus menjelang Julai ini, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata pelbagai langkah mitigasi interim dan fast track untuk meningkatkan lagi jidar simpanan penjanaan dan menampung permintaan tambahan bekalan elektrik telah diluluskan Majlis Tenaga Sabah yang bersidang sebanyak tiga kali pada tahun lepas.

“Pada Mac lepas kita hanya mengalami empat kali catuan bekalan elektrik berbanding 13 kali catuan pada Mac tahun lepas, iaitu pengurangan sebanyak 69 peratus. Pada bulan ini hanya sekali catuan bekalan berbanding tiga kali catuan pada April tahun lepas, pengurangan 67 peratus.

“Kebanyakan load shedding atau catuan bekalan tahun ini disebabkan kekurangan penjanaan berpunca gangguan pembekalan gas Petronas baru-baru ini,” katanya menggulung perbahasan Usul Ucapan Terima Kasih atas Ucapan Dasar Kerajaan oleh Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Musa Aman di sini hari ini.

Hajiji berkata selain itu, berlaku juga kehilangan penjanaan tenaga elektrik yang mendadak di kawasan penjanaan sistem solar di Tadau, Kudat akibat awan tebal secara tiba-tiba, serta gangguan di Pencawang Masuk Utama, Segaliud pada bulan ini.

“Tindakan pantas pihak Grid System Operator dan Sabah Electricity telah berjaya meminimumkan gangguan penjanaan itu selama satu jam sahaja,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata Sabah telah mewartakan lebih 2.01 juta hektar kawasan hutan sebagai kawasan dilindungi sepenuhnya (TPA) yang bersamaan dengan 27.15 peratus keluasan negeri ini.

Beliau berkata pada prinsipnya keluasan kawasan hutan itu yang layak untuk tujuan kredit karbon adalah tertakluk kepada metodologi penilaian pasaran, dan bergantung kepada elemen nilai tambah bagi projek karbon yang bakal dibangunkan.

“Untuk membenarkan perdagangan kredit karbon berasaskan hutan, ia perlu mematuhi proses penilaian dan verifikasi yang diiktiraf oleh piawaian pasaran kredit karbon,” katanya.

Usul itu kemudian diluluskan dengan sokongan majoriti, sebelum Speaker DUN Sabah Datuk Seri Kadzim M Yahya menangguhkan persidangan.

Comment