KOTA KINABALU: Pejabat Daerah di negeri ini tidak mengeluarkan lesen perniagaan pelancongan kepada warga asing termasuk warganegara China.
Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Ruddy Awah berkata, lesen berkenaan hanya dikeluarkan kepada warganegara tempatan sahaja.
Bagaimanapun pihaknya akan memantau sebarang laporan atau aduan berkaitan penyalahgunaan lesen perniagaan dan pengusaha pelancongan yang mengalibabakan lesen berkenaan.
Beliau berkata demikian bagi menajwab soalan Jamil Hamzah (WARISAN-Bugaya) mengenai tindakan kementerian terhadap pengusaha pelancongan yang mengalibabakan lesen perniagaan yang dikeluarkan oleh pejabat daerah kepada warganegara China.
Dalam pada itu, Ruddy turut meminta wakil rakyat Bugaya untuk memberikan sebarang maklumat dan mengemukakan data mengenai penyalahgunaan lesen perniagaan terbabit.
Selain itu katanya, beberapa tindakan boleh dikenakan sekiranya didapati ada pihak terlibat dengan aktiviti terbabit termasuk mengadakan perjumpaan dengan pengusaha-pengusaha pelancongan untuk menerangkan pematuhan syarat-syarat menjalankan perniagaan dan pematuhan faktor keselamatan.
"Kementerian juga memohon semua pengusaha pelancongan mengemukakan pelan pembangunan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).
"Kolaborasi dan penyelarasan dengan agensi berkaitan untuk turun padang turut dijalankan bagi mengenal pasti pekerja warga asing yang tidak mempunyai dokumen atau tidak memenuhi syarat pekerjaan," katanya.
Selain itu, beliau turut meminta wakil rakyat berkenaan supaya sama-sama turun padang dengan pihak kementerian bagi memantau dan memastikan setiap maklumat yang dilaporkan dapat dikenal pasti sewajarnya.