Sabah rekod peningkatan pelancong sebanyak 23 peratus
23:04 Apr 16, 2025  |  By SabahKini2
Sabah rekod peningkatan pelancong sebanyak 23 peratus

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding Januari 2024.

KOTA KINABALU: Sabah mencatat ketibaan sebanyak 303,614 pelawat dengan jumlah perbelanjaan pelancongan mencecah RM723.09 juta setakat Januari 2025.

Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai berkata, pencapaian itu menunjukkan peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding Januari 2024.

Katanya, bagi mencapai sasaran ketibaan 3.5 juta pelancong tahun ini, promosi serta pemasaran pelancongan akan terus dipertingkatkan melalui kempen penjenamaan 'Explore Sabah'.

Menurutnya, kempen berkenaan berteraskan tiga tema utama iaitu budaya, pengembaraan dan alam semula jadi.

"Kempen ini memfokuskan kepada tujuh pasaran utama termasuk United Kingdom, Australia, Jepun, China, India, Asia Tenggara serta pasaran domestik.

"Fokus promosi pada tahun ini diberikan kepada tema pantai dan alam semula jadi, aktiviti menyelam, serta interaksi langsung dengan hidupan liar, bagi menawarkan pengalaman yang sebenar kepada pelawat. 

"Pada masa sama, kempen berimpak tinggi serta kolaborasi dengan pemain industri pelancongan akan diteruskan berikutan kejayaan peningkatan pelawat pada 2024," katanya dalam ucapan penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini semalam.

Dalam pada itu beliau berkata, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) terus memberi perhatian utama terhadap isu konflik antara manusia dan hidupan liar seperti buaya, gajah dan monyet.

Menurutnya, kementerian melaksanakan pelbagai usaha termasuk pelaksanaan pelan tindakan, program kesedaran, dan penguatkuasaan melalui ranjer komuniti di kawasan berisiko.

Katanya, pelaksanaan aktiviti konservasi dan penguatkuasaan, terutamanya di kawasan pantai timur juga akan terus diperkasakan.

"Pada bulan Januari 2025, kementerian saya melancarkan projek penanaman rumput Napier untuk gajah pygmy Borneo yang dilaksanakan di kawasan Rizab Riparian Sungai Kinabatangan Hilir, berdekatan Kampung Bilit Kinabatangan, di bawah Projek Koridor Makanan Gajah.

"Langkah strategik ini adalah salah satu usaha kementerian untuk mengurangkan kejadian konflik antara manusia dan gajah," katanya.

Selain itu beliau berkata, kerajaan juga amat serius dalam menangani cabaran global berkaitan alam sekitar. 

Menurutnya, Dasar Alam Sekitar Negeri Sabah 2017 dan Pelan Tindakan Dasar Alam Sekitar digunakan sebagai rujukan utama dalam memastikan pembangunan negeri berlaku secara mampan, selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Selain itu jelasnya, komitmen kerajaan turut dizahirkan melalui persiapan mengambil alih kuasa pengurusan buangan terjadual daripada kerajaan Persekutuan pada 2026, dalam pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

"Dalam aspek alam sekitar, kerajaan negeri terus komited dalam pemuliharaan khazanah semula jadi dan biodiversiti melalui pewartaan beberapa kawasan baharu sebagai taman perlindungan seperti Taman Teluk Darvel, Taman Pulau Ligitan, Taman Pulau Mengalum dan Taman Tun Juhar. 

"Pewartaan ini adalah sebahagian daripada usaha memenuhi sasaran 13 peratus kawasan marin yang dilindungi sebagaimana yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya.

Comment