Sabah kekal komited laksana Skim PES
15:04 Apr 17, 2025  |  By SabahKini2
Sabah kekal komited laksana Skim PES

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, kawasan berkenaan juga adalah tapak perintis bagi kerajaan membangunkan kerangka PES yang bersesuaian dengan keadaan setempat dan penerimaan masyarakat setempat.

KOTA KINABALU: Kerajaan masih komited melaksanakan Skim Pembayaran Perkhidmatan Ekosistem (PES) terutamanya di kawasan Tadahan Air Babagon.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan berkata, kawasan berkenaan juga adalah tapak perintis bagi kerajaan membangunkan kerangka PES yang bersesuaian dengan keadaan setempat dan penerimaan masyarakat setempat.

"Buat masa ini, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) masih lagi dalam proses pewartaan kawasan Tadahan Air Babagon sebagai Kawasan Perlindungan Air dan Kawasan Pemeliharaan Air di bawah Enakmen Sumber Air Sabah 1998," katanya. 

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan JannIE Lasimbang (DAP-Kapayan) sama ada kerajaan masih komited untuk melaksanakan Skim PES bagi kawasan Tadahan Air Babagon termasuk menubuhkan sebuah tabung air dan meminda atau meluluskan undang undang yang berkenaan, jika perlu. 

Jeffrey berkata, pelaksanaan skim PES ini hanya boleh dibuat selepas kawasan Tadahan Air Babagon diwartakan kelak dan perundangan bagi Tabung Pemuliharaan Sumber Asli diwartakan.   

Bagaimanapun jelasnya, JPS bersama pihak perunding sumber air akan mencari jalan untuk mempercepat pewartaan kawasan berkenaan sebagai kawasan tadahan air.

"Namun kalau diperlukan, saya rasa tiada bantahan untuk sementara waktu kawasan terlibat itu boleh mengatur langkah yang perlu supaya konsep ini boleh diterima serta boleh dimulakan.

"Walaupun kerangka yang kita perlu untuk pelaksanaannya belum lagi tersedia termasuk cadangan penubuhan tabung air itu sendiri," jelasnya.

Comment