Penerima bantuan BWI perlu pindah dan daftar ke PPS
16:04 Apr 17, 2025  |  By SabahKini2
Penerima bantuan BWI perlu pindah dan daftar ke PPS

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, mangsa yang layak menerima BWI perlu berpindah atau didaftarkan ke PPS oleh petugas Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) di daerah masing-masing.

KOTA KINABALU: Pemberian Bantuan Wang Ihsan (BWI) sebanyak RM1,000 kepada mangsa kejadian bencana adalah tertakluk kepada arahan yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Jabatan Perdana Menteri.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, mangsa yang layak menerima BWI perlu berpindah atau didaftarkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) oleh petugas Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am (JPKA) di daerah masing-masing.

Katanya, tindakan seterusnya adalah pengesahan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) dan permohonan dikemukakan kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).

"JPBN di seluruh Malaysia adalah tertakluk dan perlu mematuhi Arahan NADMA No. 1 iaitu mangsa kejadian bencana adalah layak untuk menerima BWI sebanyak RM1,000.

"Kerajaan melalui NADMA adalah agensi peneraju pengurusan bencana dan memainkan peranan yang amat penting dalam menghadapi sebarang kejadian bencana di Malaysia.

"Ini adalah selaras dengan Arahan NADMA No. 1 yang berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2024 yang sebelum ini dikenali sebagai Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 yang bertujuan menggariskan Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana dan Pengurangan Risiko Bencana secara menyeluruh meliputi peringkat sebelum, semasa dan selepas sesuatu kejadian bencana," katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee (ADUN Dilantik) mengenai mekanisme yang harus digunakan kerajaan negeri dalam memberikan bantuan kepada mangsa bencana alam seperti banjir.

Nizam berkata, pengurusan bencana di Malaysia mempunyai tiga tahap iaitu Tahap 3 di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), Tahap 2 melibatkan JPBN dan Tahap 1 di bawah JPBD dengan penglibatan pelbagai agensi yang berkepentingan.

Bagaimanapun katanya, jika ada mangsa banjir yang tidak dapat berpindah ke PPS kerana jalan terputus atau keadaan banjir yang boleh membahayakan nyawa, mereka sebenarnya layak mendapat bantuan barang makanan.

Menurutnya, bantuan berkenaan disampaikan oleh JPKA dan dibantu oleh agensi-agensi penyelamat termasuk Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Saya maklum dan faham ada kes yang berlaku begitu juga di tempat saya dan kita tangani perkara itu berdasarkan kes demi kes.

"Kerajaan tidak akan begitu zalim, sehingga rakyat yang memerlukan bantuan tidak diberi pertolongan. Namun, bantuan setakat ini tertakluk kepada Arahan NADMA No. 1," jelasnya.

Comment