KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menghargai peranan Dewan Perdagangan dan Industri Antarabangsa Malaysia (MICCI) dalam menyumbang kepada penggubalan dasar dan proses membuat keputusan yang berkaitan dengan pembangunan ekonomi negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, MICCI bukan sahaja bertindak sebagai rakan strategik kepada kerajaan negeri dan persekutuan, malah turut memainkan peranan penting dalam mempromosikan persekitaran perniagaan yang kondusif menerusi pelaksanaan rangka kerja pengawalseliaan yang mantap.
“MICCI juga pemangkin utama dalam menjayakan Ekspo Antarabangsa Sabah yang diadakan setiap dua tahun, dan ia menjadi platform penting dalam mempromosikan perdagangan, perniagaan serta pelaburan selama lebih dua dekad,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan yang disampaikan oleh Setiausaha Sulit Kanan beliau, Datuk Ceaser Mandela Malakun sempena Majlis Makan Tengah Hari Tahunan Cawangan Sabah MICCI 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.
Hajiji turut mengiktiraf kekuatan MICCI yang memiliki keanggotaan korporat dari pelbagai sektor perniagaan antarabangsa dan pelaburan bernilai berbilion ringgit, menjadikan dewan itu sebagai satu kuasa yang signifikan dalam landskap ekonomi negeri.
“Ketekunan dan sokongan MICCI kepada ahlinya dalam membangunkan perniagaan mereka di negara ini adalah sesuatu yang wajar dipuji,” katanya.
Dalam pada itu, Hajiji menegaskan komitmen kerajaan negeri untuk terus menangani pelbagai cabaran termasuk isu infrastruktur dan kemudahan asas menerusi pelaksanaan belanjawan negeri tertinggi sebanyak RM6.42 bilion pada tahun ini.
Daripada jumlah itu, RM2.6 bilion diperuntukkan bagi menaik taraf infrastruktur dan utiliti seperti bekalan air, elektrik dan jalan raya.
“Kerajaan juga melaksanakan perancangan jangka panjang untuk memperkukuh sektor tenaga, termasuk Pelan Induk dan Halatuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040). Projek hidroelektrik Ulu Padas yang dilancarkan mampu menyumbang 187.5MW tenaga elektrik dan membekalkan sehingga 6,000 juta liter air sehari (MLD),” katanya.
Bagi memperkukuh pengurusan tenaga, Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) ditubuhkan sebagai badan pengawalseliaan bagi bekalan gas dan tenaga di negeri ini.
Selain itu, Hajiji turut menyatakan bahawa Sabah Ports Sdn Bhd menandatangani perjanjian bagi mengurus bersama Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar serta melabur dalam pembangunan infrastruktur logistik dan rantaian bekalan di Sabah.
Sejak September 2020, jumlah pelaburan asing dan domestik yang diluluskan dalam sektor pembuatan di Sabah dianggarkan berjumlah RM17.41 bilion, melibatkan 73 syarikat.
Daripada jumlah itu, 52 syarikat menubuhkan operasi di Sabah dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.8 bilion yang mencipta 3,636 peluang pekerjaan.
“Dari 2022 hingga 2024, negeri ini turut menerima cadangan pelaburan baharu bernilai RM42.3 bilion yang berpotensi menjana hampir 33,000 pekerjaan,” katanya.
Antara syarikat pelabur utama termasuk SK Nexilis, Kumpulan Kibing, Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd (RM19.6 bilion), Curix Sdn Bhd di KKIP, Tex Evolusi Waste Management Sdn Bhd (SOGIP), dan E Concern (Borneo).
Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE) juga sedang menyelaras pelaburan baharu daripada Kumpulan Kibing di Kimanis, TS Asia Green Infrastructure Sdn Bhd di POIC Lahad Datu serta PMB Technology/Press Metal di Sipitang.
“Secara keseluruhan, Sabah berjaya meraih pelaburan bernilai RM58.319 bilion. Kerajaan negeri akan terus berusaha mengekalkan momentum ini bagi menjadikan Sabah sebagai destinasi pelaburan utama,” katanya.
Hajiji turut menyentuh tentang pembangunan Ekonomi Biru sebagai satu lagi pemangkin kepada kepelbagaian ekonomi negeri.
Menurutnya, Ekonomi Biru merangkumi 14 komponen termasuk tenaga laut boleh diperbaharui, karbon biru, pelancongan, pengangkutan maritim, dan bioteknologi marin.
“Saya penuh yakin sektor ini akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sabah pada masa akan datang,” katanya.1