TAWAU: Seorang lelaki warga asing disyaki pengedar dadah berjaya ditahan selepas cuba meloloskan diri dalam satu serbuan di kawasan Kampung Kurnia Jaya, Batu 4, Tawau, pagi kelmarin.
Suspek berusia 30-an itu ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, kira-kira jam 7.30 pagi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner, Jasmin Hussin berkata sebelum menjalankan serbuan, pihaknya telah menerima maklumat risikan mengenai aktiviti pengedaran dadah di kampung berkenaan.
Katanya, tindakan pantas pasukan serbuan berjaya menahan seorang lelaki yang cuba melarikan diri dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil siasatan awal, suspek terbabit tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah dan merampas beg pinggang untuk pemeriksaan.
“Pemeriksaan ke atas beg berkenaan menemukan sebanyak 74 paket plastik kecil berlainan saiz berisi bahan disyaki dadah jenis syabu seberat 52.43 gram,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, suspek bersama dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM2,550 itu dibawa ke IPD Tawau untuk siasatan lanjut.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati suspek negatif dari sebarang jenis dadah dan semakan rekod jenayah juga menunjukkan suspek tidak mempunyai sebarang kesalahan lampau.
“Suspek juga mengaku mendapat bekalan dadah daripada seorang rakan yang juga dipercayai berada di kawasan yang sama,” katanya.
Jasmin berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan jika sabit kesalahan.
“Suspek direman bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut, manakala usaha mengesan individu lain yang terlibat dalam sindiket pengedaran dadah berkenaan sedang giat dijalankan,” katanya.