KOTA KINABALU: Masalah pembuangan sampah, lemak, minyak dan gris yang masih berlaku secara berleluasa antara isu utama bagi sistem pembetungan awam di kawasan Sandakan.
Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerja Raya Datuk Shahelmey Yahya berkata, bagi menangani masalah itu, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP) Sabah akan terus mempertingkatkan usaha dalam penguatkuasaan dan pemeriksaan bersepadu bersama Majlis Perbandaran Sandakan (MPS).
Katanya, ia termasuk mengadakan program pendidikan dan kesedaran awam di kawasan Sandakan dan juga kawasan-kawasan lain.
"Selain itu, JPP Sabah juga berusaha untuk memantapkan lagi keperluan kakitangan, peralatan dan kelengkapan JPP Sandakan.
"Langkah ini bagi memastikan sistem pembetungan awam di kawasan Sandakan beroperasi dan diselenggara dengan baik dan berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab Arunarnsin Taib (WARISAN-Gum-Gum) mengenai tindakan segera untuk menangani isu-isu pembetungan yang semakin serius terutamanya di kawasan taman perumahan di Sandakan.
Shahelmey berkata, JPP Sabah mengambil beberapa tindakan penyelesaian bagi isu pembetungan di sekitar daerah Sandakan termasuk di Taman Megah Batu 7, Pasar Batu 8, Kawasan Bandar Ramai-Ramai dan Kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Menurutnya, isu paip pembetungan di Taman Megah, Loji Rawatan Kumbahan Taman Megah tidak beroperasi disebabkan berlakunya kecurian komponen elektrikal dan juga terdapat sampah di dalam paip pembetungan yang menyebabkan paip tersumbat dan kumbahan melimpah di lurang kawasan berkenaan.
Sehubungan itu jelasnya, kerja-kerja pembaikan loji disiapkan pada 19 Februari 2025 dan kerja-kerja penyelenggaraan paip pembetungan diselesaikan pada 31 Mac 2025.
"Bagi isu pembetungan di Pasar Besar Batu 8, masalah pembuangan sampah, lemak, minyak dan gris oleh segelintir orang awam dan pemilik premis ke dalam lurang menyebabkan limpahan kumbahan.
"Setakat ini, JPP Sandakan melaksanakan kerja-kerja pembersihan lurang yang melimpah namun masalah ini masih berulang disebabkan kurangnya kesedaran awam tentang kepentingan pembetungan dan peranan orang ramai ke atas keperluan penjagaan sistem pembetungan awam.
"Sehubungan itu, JPP Sabah bersama-sama MPS melaksanakan program pemeriksaan dan penguatkuasaan bersepadu pada 21 Mac 2025 bagi menangani masalah ini," jelasnya.
Selain itu katanya, JPP Sabah turut melaksanakan program pembersihan lurang dan rangkaian paip pembentungan khususnya di kawasan pasar-pasar awam sekitar daerah Sandakan termasuk Pasar Umum Sandakan, Pasar Elopura 1 & 2, Pasar Bandar Pasaraya, Pasar Besar Batu 8 dan Pasar Bandar Ramai-Ramai yang bermula pada 9 April 2025 untuk tempoh sembilan bulan.
Beliau berkata, bagi kawasan Bandar Ramai-ramai, kebanyakan isu pembetungan adalah melibatkan sistem perpaipan tandas di dalam kawasan bangunan iaitu kebanyakan paip terbabit berada dalam keadaan yang uzur.
"Justeru, tanggungjawab penyenggaraan, pembaikpulihan atau penggantian perpaipan adalah di bawah tanggungjawab pemilik premis selaras dengan Enakmen Perkhidmatan Pembetungan (EPP 2017) di bawah Seksyen 35 Subseksyen 2," katanya.