SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup pelbagai produk kosmetik yang membabitkan rampasan bernilai RM21,375, semalam.
Rampasan itu dilakukan PPM Semporna Wilayah Empat Sabah menerusi Op Taring Gelora di laut Tanjung Menimpah, Pulau Bum-Bum, di sini.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, dalam operasi itu pihaknya menahan sebuah bot warna putih dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemukan beberapa kotak besar yang berisi pelbagai barang kosmetik yang disyaki seludup dari negara jiran.
“Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM21,375 dan kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Katanya, PPM Wilayah Empat Sabah akan terus komited dalam membanteras jenayah penyeludupan demi keselamatan dan kesejahteraan negara.