TUARAN: Seorang kanak-kanak lelaki autistik berusia lima tahun yang dilaporkan hilang di Kampung Bahagia II, Tamparuli sejak lima hari lalu di belakang Pejabat Daerah Tamparuli ditemukan lemas pada Khamis.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Mohamad Nor Amit berkata, mayat mangsa ditemukan jam 12.20 tengah harinpada kedudukan tiga kilometer dari jarak mangsa dilapor hilang.
“Operasi SAR hari kelima dimulakan jam 08.35 pagi bersama agensi penyelamat lain dalam radius jarak pencarian di perluaskan.
“Kawasan pencarian merangkumi darat dan air (sungai) dengan Teknik pencarian Standard line double layer.
“Mangsa kemudian ditemukan tersangkut ditepi sungai sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa dipercayai hilang oleh pasukan SAR yang melakukan pencarian secara water rafting di sekitar sungai,” katanya.
Menurutnya, pasukan bomba membantu mengangkat mangsa ke kawasan darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Katanya, operasi keseluruhan ditamatkan jam 1.15 petang.