RANAU: Seorang pendaki wanita mengalami kecederaan di bahagian tengkuk ketika menuruni laluan dari Laban Rata di Kilometer 6, Gunung Kinabalu, di sini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Rantey Fred berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Malim Gunung pada jam 8:30 pagi.
“Bertindak dengan kejadian, operasi menyelamat dilaksanakan oleh pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung Kinabalu (MOSAR) dibantu oleh pasukan PARK-SAR.
“Semasa pasukan penyelamat tiba di lokasi kejadian pada jam 9:00 pagi, mangsa berumur 41 tahun didapati mengalami kecederaan di bahagian tengkuk akibat terjatuh semasa perjalanan turun dari Laban Rata.
“Pasukan MOSAR segera memberikan rawatan awal kepada mangsa dengan memasang C-Collar di bahagian leher dan tengkuk bagi mengelakkan kecederaan lebih serius,” katanya.
Beliau berkata, mangsa kemudian dibawa turun menggunakan kaedah “Robinson Stretcher” dengan berhati-hati bagi memastikan keselamatannya terjamin sepanjang perjalanan ke Timpohon Gate.
“Sebaik tiba di Timpohon Gate, mangsa diserahkan kepada pihak Ambulans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk dibawa ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.
“Keadaan mangsa stabil ketika diserahkan kepada petugas perubatan,” katanya sambil menambah operasi keseluruhan ditamatkan jam 12.45 tengah hari.