KUALA LUMPUR: Datin Seri Pamela Ling Yueh yang dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mempunyai rekod lampau termasuk waran tangkap.
SPRM menerusi kenyataan memaklumkan, wanita berusia 42 tahun itu dan suaminya, Datuk Seri Hah Tiing Siu disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang dimulakan pada Mei tahun lalu.
Menurut kenyataan itu, siasatan dijalankan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 serta Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).
"Pada 28 Mei 2024, wanita itu dipanggil memberikan keterangan bagi membantu siasatan dijalankan, namun ingkar dan gagal memberikan kerjasama.
"Berikutan itu pada 2 Disember lalu, SPRM memperoleh waran tangkap terhadap Pamela daripada Mahkamah Majistret Putrajaya atas kesalahan gagal mematuhi perintah menghadiri pemeriksaan bagi tujuan melengkapkan siasatan. "Lanjutan daripada itu, pada 8 Januari lalu satu tindakan operasi bersama pihak Corrupt Practices Investigation Bureau (CPIB) Singapura dilancarkan dan Pamela ditahan secara sah serta dibawa pulang ke Malaysia," kata kenyataan itu.
Menurut SPRM, Pamela direman tiga hari dari 9 Januari sehingga 11 Januari lalu sebelum dibebaskan dengan ikat jamin SPRM.
Namun pada 9 April lalu, pihak SPRM meminta Pamela hadir ke Ibu Pejabat SPRM bagi meneruskan rakaman percakapan lanjutan maklumat baharu yang diperoleh oleh SPRM.
"Pihak SPRM juga mendapat izin dan perintah daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk menahan dokumen perjalanan Pamela melalui serahan Notis Penyerahan Dokumen Perjalanan Seksyen di bawah Seksyen 44 (1) Akta SPRM 2009.
"Bagaimanapun, Pamela gagal hadir pada hari itu dan peguamnya kemudian membuat laporan polis mengenai kehilangannya," katanya.
SPRM bertindak mengikut kerangka undang-undang, termasuk mendapatkan semua perintah mahkamah yang diperlukan serta mematuhi peraturan ditetapkan.
SPRM turut menafikan dakwaan gangguan atau salah laku dalam kes berkenaan.
Dalam pada itu, SPRM berkata, semakan kehakiman yang difailkan oleh Pamela sebelum kehilangannya tidak menafikan atau membatalkan siasatan yang sedang dijalankan berhubung kesalahan yang disyaki.
Cabaran perundangan adalah hak mana-mana individu tetapi ia tidak mengganggu perjalanan penguatkuasaan mengikut proses perundangan ditetapkan.
"Sejak laporan kehilangan Pamela Ling, SPRM memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kini mengetuai siasatan itu," katanya.
Sehubungan itu, SPRM berharap semua pihak mengelakkan spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Pada peringkat ini, keutamaan adalah untuk memberikan sepenuh kerjasama kepada pihak berkuasa supaya usaha mengesan dan membawa pulang Pamela dapat dijalankan dengan lancar, selamat dan secepat mungkin.