PENAMPANG: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah berjaya menahan seramai 94 Pendatang Tanpa Izin (PTI) dalam Operasi Gempur Bersasar yang dijalankan serentak seluruh Malaysia di sini semalam.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, operasi dilaksanakan hasil daripada aduan dan risikan yang dijalankan oleh Bahagian Penguatkuasa selama satu minggu di kawasan terlibat.
“Berdasarkan maklumat yang diperoleh, pasukan operasi menyerbu tapak pembinaan sekitar daerah ini yang dikenal pasti sebagai lokasi aktiviti PTI.
“Seramai 165 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 94 orang PTI ditahan kerana disyaki melanggar undang-undang imigresen mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua PTI yang ditahan terdiri daripada 60 lelaki, 12 wanita dan 22 kanak-kanak disyaki melakukan kesalahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 iaitu menyalahgunakan pas lawatan, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah, serta Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Beliau berkata, kesemua yang ditahan dibawa ke Pejabat Bahagian Penguatkuasa Kota Kinabalu untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Pegawai penguatkuasa turut menjalankan pemeriksaan terperinci terhadap dokumen perjalanan dan pas imigresen mereka bagi memastikan sebarang pelanggaran undang-undang dikenalpasti,” katanya.
Menurutnya, operasi yang bermula jam 10.00 pagi itu melibatkan kekuatan seramai 75 orang anggota penguatkuasa daripada pelbagai pangkat di Bahagian Penguatkuasa, Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sabah.
Beliau juga menyeru orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti PTI atau premis yang menggaji warga asing secara tidak sah untuk tampil menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa.
“Maklumat daripada masyarakat setempat amat penting bagi membantu operasi penguatkuasaan dijalankan dengan lebih berkesan.
“Operasi penguatkuasaan akan dilaksanakan secara berterusan untuk mengesan, menangkap, mendakwa, dan memindahkan warganegara asing yang melanggar peruntukan undang-undang negara seperti Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.
Setakat ini katanya, seramai 11,000 orang diperiksa dalam operasi seumpamanya di seluruh negeri, melibatkan 1,956 tangkapan serta pemindahan 4,851 PTI ke negara asal masing-masing.
“JIM Sabah akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan ini demi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
“Majikan yang menggaji pekerja asing tanpa dokumen sah juga diberi peringatan bahawa tindakan tegas akan diambil tanpa kompromi,” katanya.
Beliau juga meminta orang ramai agar melaporkan sebarang aktiviti PTI kepada pihak berkuasa bagi membantu usaha membanteras aktiviti ini secara menyeluruh dan berkesan.