SANDAKAN: Seorang lelaki tempatan ditahan Pasukan Polis Marin (PPM) selepas didapati cuba menyeludup keluar minyak sawit mentah (CPO) di Batu 25, Kampung Garinono, semalam.
Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohd Nazri Ibrahim berkata tangkapan yang dilakukan kira-kira jam 4 petang itu adalah hasil maklumat risikan yang diterima.
Katanya, pasukan PPM Sandakan yang menjalankan operasi rutin berjaya mengesan sebuah lori berwarna putih di bahu jalan kampung berkenaan dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat seorang lelaki yang merupakan pemandu lori berkenaan berusia 28 tahun.
“Pemeriksaan ke atas lori itu menemukan enam buah tangki berisi sebanyak 2,500 liter minyak sawit mentah dan sebuah enjin pam minyak,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.
Menurutnya, pemandu lori terbabit gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan pemilikan atau pemindahan bahan berkenaan.
“Suspek berserta lori dan muatan dirampas sebelum dibawa ke Markas Operasi Pasukan Polis Marin Sandakan untuk siasatan lanjut.
“Jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM143,000 dan kes disiasat di bawah Akta Lembaga Minyak Sawit Malaysia 1998,” katanya.
Mohd Nazri berkata, pihaknya akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan yang menjejaskan hasil negara.
“Pihak PPM akan terus meningkatkan rondaan dan pemantauan bagi memastikan kegiatan haram seperti ini dapat dibanteras sepenuhnya.
“Orang ramai digesa untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan kepada pihak berkuasa demi keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.